Wanita bertatu rama-rama dipenjara lima tahun
KUCHING-- Seorang wanita yang dikatakan punca berhubung kes tular di Batu Kawa yang menyebabkan kematian seorang pengawal keselamatan sebuah hotel di situ pada 30 Oktober lepas dipenjara lima tahun bermula 8 November lalu.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ayu Abdullah, 25, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Ayu didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 304(b) kanun sama atas tuduhan bersubahat.
Selain itu, tertuduh juga dikenakan hukuman denda RM1,500 kerana membuat laporan polis palsu yang mendakwa dirinya dicabul.
Pada masa sama Majistret Zubaidah memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Dia didakwa membuat laporan palsu yang mendakwa dirinya telah dicabul pada 30 Oktober 2023, sekitar jam 10.37 malam di Balai Polis Kota Sentosa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan polis mengatakan dirinya telah dicabul oleh seorang pekerja hotel iaitu lelaki berusia 51 tahun di dalam sebuah bilik hotel terbabit di Batu Kawa di sini pada hari kejadian.
Namun, hasil soal siasat mendapati dia mengaku bahawa kejadian yang dilaporkan adalah rekaan semata-mata kerana suaminya terjumpa dengannya di hotel pada ketika itu dan berikutan itu, Ayu takut dimarahi kerana curang.
Malah tertuduh memberikan kebenaran kepada pekerja hotel itu untuk datang menemuinya di bilik.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin sementara Ayu tidak diwakili peguam.
Dalam kes yang sama, Mahkamah Majistret turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada seorang lelaki selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa sengaja seorang pengawal keselamatan di sebuah hotel di Batu Kawa.
Tertuduh Hartley Tuntun Jerah, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan semasa prosiding di Mahkamah Majistret 2.
Pekerja am itu dituduh di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari 9 November 2023.
Dalam prosiding sama, seorang lelaki berusia 19 tahun turut mengaku bersalah atas tuduhan yang sama.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan salah seorang ibu atau bapa sebagai penjamin.
Tertuduh diarah melaporkan diri di balai polis terdekat setiap dua minggu selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Majistret Mason menetapkan 18 Disember 2023 sebagai pengurusan kes sementara menunggu laporan sosial.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama beberapa orang yang lain didakwa membunuh tanpa niat seorang lelaki berusia 51 tahun di hadapan sebuah hotel di Batu Kawa, antara jam 12.30 tengah malam hingga 1.00 pagi, 30 Oktober lalu.
Ketika kejadian, mangsa telah dipukul oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia dua hari selepas itu.
Bedah siasat yang dijalankan mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana kecederaan di kepala.