Wang pesara RM62,000 lenyap terpedaya love scam


LIMBANG--Bersimpati dengan meminjamkan duit kepada teman istimewa,menyebabkan seorang pesara berputih mata apabila kerugian RM62,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan ‘love scam’ Selasa lepas.

Mangsa 60, berkenalan dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai pekerja syarikat di Sarawak Ogos lepas melalui aplikasi TikTok dan mula berhubung melalui aplikasi Whatsapp sejak September lepas.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata suspek kemudiannya mula meminta wang daripada mangsa dengan alasan untuk kegunaan rawatan ibunya dan berjanji akan membayar semula wang tersebut.

“Mangsa yang percaya, telah meminjamkan RM 62,000 kepada suspek melalui sembilan kali transaksi ke dalam lima akaun bank yang berbeza.

“Namun sehingga laporan polis dibuat, mangsa tidak ada menerima kembali RM 62,000 yang dipinjamkan kepada lelaki tersebut,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Parum satu kertas siasatan telah dibuka untuk laporan polis berhubung laporan yang dibuat oleh mangsa.

Katanya bagi mendapatkan nasihat ataupun menyalurkan maklumat berkenaan kes-kes jenayah komersil di daerah Limbang boleh menghubungi 085-211466 sambungan 252 ataupun berhubung terus dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Limbang Inspektor Johari Mudin di talian 019-8280895.
Next Post Previous Post