Video pergaduhan tular di Serian, dua lelaki ditangkap

SERIAN-- Dua lelaki dicekup polis selepas terlibat insiden pergaduhan di lampu isyarat berdekatan Taman Community di sini dalam satu video yang tular di media sosial pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, kedua-dua suspek ditangkap bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.



"Pada 14 November 2023 pihak polis telah mengesan satu video tular berdurasi 0.09 saat di aplikasi Whatsapp yang menunjukkan satu pergaduhan melibatkan seorang pemandu kenderaan jenis Avanza dan pemandu kenderaan jenis Proton Saga. 

"Di dalam video tersebut, mendapati kedua-dua pemandu terbabit bergaduh bertikam lidah di mana kedua-duanya telah membawa sebilah pisau dan juga parang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, jelasnya satu laporan polis telah dibuat terhadap video tular tersebut.



"Pihak polis daripada IPD Serian kemudian telah berjaya menangkap dan menahan kedua-dua suspek terlibat untuk siasatan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat awam agar sentiasa bertimbang rasa dan mematuhi peraturan jalanraya serta tidak bertindak hingga mendatangkan kegusaran kepada masyarakat awam. 

Tegas Aswandy, tindakan membawa senjata berbahaya boleh dikenakan kesalahan di bawah Akta Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. 

"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang sengaja menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat," ujarnya.
Next Post Previous Post