TV Sarawak Kerjasama TV Indonesia dan Thailand

GEDONG--TVS kini sedang meneroka kemungkinan untuk bekerjasama dengan saluran televisyen luar negara seperti Thailand dan Indonesia bagi mempromosikan filem tempatan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, masa depan Sarawak dalam industri seni dan kreatif cerah kerana anak-anak watan Sarawak sangat berbakat dalam bidang tersebut. 

‘’Melalui pertukaran program tersebut, persefahaman kita bersama negara yang terbabit akan lebih akrab. Dengan ini masa hadapan seni kita adalah cerah," katanya kepada media selepas Program TVS Prihatin di Gedong, di sini.

Abang Johari berkata, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan bakal menerima geran untuk bagi membantu penggiat seni dalam bidang cerpen mahupun filem pendek.

Katanya, geran itu akan menjadi saluran penting untuk anak Sarawak mempamerkan bakat dan kreativiti mereka. 

Sementara itu Abang Johari berkata kerajaan berhasrat meneroka satu lagi sumber pendapatan baharu bagi meningkatkan sumber pendapatan negeri sebagai tambahan kepada sumber pendapatan sedia ada.

Beliau turut memberi bayangan kemungkinan beliau akan mengumumkan perkara itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan bermula 20 November ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan bidang berkenaan yang masih dalam penelitian.

"Memang Kerajaan Sarawak sudah merancang sumber pendapatan baharu. Sekarang, kita sudah ada televisyen sendiri, syarikat petroleum sendiri, bank pembiayaan sendiri dan syarikat penerbangan.

‘’Kalau bukan ketika persidangan DUN, mungkin dalam masa terdekat selepas itu kita akan mengumumkannya,’’ 

Terdahulu, beliau menyampaikan simbolik penyerahan 300 set dekoder MyTV kepada penerima di DUN Gedong.

Gambar Ihsan Sarawakku
Next Post Previous Post