SPRM Tahan Seorang Anggota Penguat Kuasa Minta Habuan Seks

JOHOR -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang anggota sebuah agensi penguat kuasa di Johor kerana disyaki meminta 'habuan' dalam bentuk seks sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang wanita kerana gagal melaporkan diri disebabkan kesalahan dadah.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dipercayai ditahan ketika bersama wanita berusia dalam lingkungan 20an dalam satu operasi khas semalam di sebuah hotel di Johor Bahru kira-kira jam 7.30 malam.

Beliau berkata, wanita tersebut dipercayai gagal melaporkan diri secara bulanan kepada agensi penguat kuasa berkenaan dan bagi mengelakkan daripada diambil tindakan, suspek telah meminta habuan seks.

"Wanita tersebut dipercayai pernah ditahan kerana kesalahan dadah dan sedang menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun di sebuah agensi penguat kuasa di Johor Bahru," katanya.

Susulan penahanan tersebut, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi tujuan reman pagi ini dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Chai Ing Hien telah mengeluarkan perintah reman selama 4 hari bermula hari ini sehingga 13 November 2023 terhadap suspek. 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post