Sawah padi punca Klinik Kesihatan Lubok Antu terbengkalai
KUCHING—Kegiatan bercucuk tanam padi menghalang kontraktor meneruskan kerja pembinaan di peringkat permulaan Klinik Kesihatan Lubok Antu kata Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Ooi Choo Huck.
“Kerja-kerja pembinaan mulai dilaksanakan pada 2019 namun ia ditangguhkan sehingga penduduk kampung selesai menuai padi.
“Kontraktor meneruskan pembinaan pada awal 2020, namun pandemik COVID-19 melanda menyebabkan kerja-kerja pembinaan tersebut tidak dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan dipetik The Borneo Post pada Rabu.
Dr Ooi berkata demikian mengulas laporan berita ‘Penduduk sepatutnya dah menikmati kemudahan klinik kesihatan lebih selesa’ yang disiarkan di Harian Metro pada 13 November lalu.
Menurut laporan itu, pembinaan Klinik Kesihatan Lubok Antu dengan peruntukan sebanyak RM28 juta itu bermula pada 29 Oktober 2019 dan dijadual siap pada 28 Oktober 2021.
Penduduk dilaporkan hairan kenapa projek itu berhenti selepas menanam cerucuk tanpa menyedari ada individu bersawah padi di tapak pembinaan.
Penduduk kampung berkata berdasarkan pada papan tanda, penduduk Lubok Antu sepatutnya sudah menikmati kemudahan klinik kesihatan lebih selesa sekarang, namun selepas empat tahun hanya cerucuk yang masih berdiri.
Isu projek terbengkalai ini timbul selepas penduduk mengadu klinik yang ada sekarang tidak dapat menampung jumlah pesakit yang meningkat saban hari untuk mendapatkkan rawatan selain menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
Berikutan keadaan keadaan klinik yang sempit, pihak klinik terpaksa menyediakan khemah dan apabila keadaan sesak, orang ramai terpaksa menunggu giliran di luar khemah.
Dr Ooi dalam pada itu menyangkal isu pesakit yang terpaksa menunggu di luar khemah kerana keadaan klinik yang sempit dan sesak.
“Bilik menunggu Klinik kesihatan Lubok Antu yang ada sekarang mampu memuatkan 50 pesakit pada satu-satu masa.
“Khemah yang terdapat di situ sebenarnya didirikan sebagai bilik triage semasa pandemik COVID-19 dan kini digunakan sebagai ruangan menunggu tambahan yang dapat memuatkan 20 pesakit.
“Purata kehadiran harian yang direkodkan pada 2022 sebanyak 136 pesakit sehari, tidak melebihi had kapasiti Klinik Kesihatan Jenis 5 dan kesesakan hanya berlaku pada waktu pagi,” tegasnya.
Dr Ooi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selalu agensi pelaksana mengesyorkan projek ditamatkan dan ditender semula selepas mengambil kira kemajuan projek yang perlahan selain cabaran walaupun lanjutan masa diberi kepada kontraktor.
“JKR Sarawak mengesyorkan penamatan kontrak sedia ada, yang membawa kepada penamatan awal tahun ini dan penilaian semula kerja-kerja terbengkalai di tapak teresbut sedang dilaksanakan untuk menentukan anggaran kos terkini.
“Jika kos meningkat, kelulusan daripada Kementerian Ekonomi diperlukan, dan proses tender semula boleh diteruskan hanya selepas mendapat anggaran kos terkini,” tambahnya.
Untuk rekod, rojek klinik tersebut telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi di bawah Rolling Plan Ke-4, Rancangan Malaysia Ke-10 pada 2015.