Sarawak Tanam Padi Guna Benih Hibrid Vietnam-Abang Johari

Premier Sarawak melihat sendiri benih padi hibrid di Kampung Lubok Punggor. Gambar arkib

KUCHING-- Sarawak menyasarkan untuk menghasilkan 240,000 tan beras setahun dengan penggunaan benih padi hibrid dari Vietnam. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, benih kacukan ini akan ditanam di Lubok Punggor di Gedong, Tanjung Bijat di Sri Aman, Spaoh di Betong, dan Tanjung Purun di Lundu. 

"Menggunakan benih hibrid akan menggalakkan pesawah mengubah kaedah penanaman mereka, bukan sahaja ia boleh meningkatkan intensiti input tetapi juga kadar produktiviti pertumbuhannya. 

"Petani kita akan dapat mengeluarkan padi dalam tiga musim setahun dengan menggunakan benih hibrid ini," katanya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sehubungan itu Abang Johari meminta kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan yang lebih besar untuk pembinaan dan menaik taraf infrastruktur saliran dan pengairan di kawasan penanaman padi berkenaan.

Tegasnya lagi, kerajaan Sarawak kini mempergiatkan usaha ke arah menjaga keterjaminan keselamatan makanan dengan memperkenalkan beberapa inisiatif.

Jelasnya, ini berikutan Sarawak amat bergantung kepada beras import untuk memenuhi permintaan tempatan.

"Pada tahun lalu, Sarawak mengimport 164,621 tan metrik beras bernilai RM362 juta," katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, bagi meningkatkan pengeluaran makanan, sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan bagi tahun 2024 untuk meneruskan projek pemulihan dan naik taraf infrastruktur saliran dan pengairan di Skim Pengairan Tanjung Purun, Lundu. 

"Selain itu, RM1.5 juta lagi diluluskan untuk Kampung Mujat, Serian manakala RM3 juta akan diperuntukkan untuk meneruskan pembangunan infrastruktur perparitan dan pengairan di Lubok Punggor, Gedong. 

"Di samping itu, sejumlah RM2 juta akan diperuntukkan pada 2024 untuk membangunkan infrastruktur saliran dan pengairan di Selepong Panggil, Bahagian Sri Aman untuk penanaman padi," jelasnya.
Next Post Previous Post