Sarawak sedia kerah jentera bantu rakyat jika bah berlaku: Uggah

KOTA SAMARAHAN-- Semua agensi, jabatan dan pasukan tindakan pantas di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) siap sedia hadapi musim landas kata, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Tegas beliau ini susulan amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berhubung musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula sejak 11 November lepas dan dijangka berakhir pada Mac tahun hadapan.

"Saya telah membuat pengumuman beberapa hari lalu di mana saya meminta semua pasukan tindakan pantas, jabatan dan agensi terlibat di bawah jawatankuasa ini bersiap siaga bila-bila masa sahaja untuk dikerah apabila berlakunya banjir.

"Walaupun, kebiasaannya Sarawak akan mengalami banjir pada bulan 
Januari dan Februari tetapi kita kena siap sedia.

"Semua jentera sedia digerakkan jika berlaku banjir di kawasan kampung, rumah panjang dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di laluan khas bagi latihan bukti konsep (POC) Autonomous Rapid Transit (ART) di sini hari ini.

Baru-baru ini Uggah berkata, JPBN mempunyai kekuatan sumber manusia seramai 5,501 anggota dalam menghadapi keadaan cuaca bermusim itu.

“JPBN Sarawak menerusi Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut dibantu dengan kekuatan aset logistik sebanyak 487 aset darat, 249 aset laut dan sungai, 12 aset udara dan 207 aset sokongan.

“Aset-aset ini dan anggota akan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi musim monsun ini. Sebanyak 70 buah bot fiber juga telah diagihkan ke seluruh Bahagian bagi membantu usaha pemindahan mangsa-mangsa banjir sekiranya diperlukan,” katanya.

Gambar arkib

Uggah berkata dari segi bekalan bantuan bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memastikan kapasiti yang mencukupi di semua depo simpanan, setor pejabat dan juga di pangkalan hadapan.

“Sebanyak 627 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh menempatkan seramai 162,091 mangsa bencana juga telah bersiap sedia untuk digunakan dan dapat diaktifkan pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata APM Sarawak juga telah menyediakan sebanyak 4,000 peket makanan sebagai bantuan tambahan untuk diagihkan kepada mangsa bencana.

Difahamkan, sebanyak 154 kawasan berisiko banjir telah dikenal pasti dan sepanjang tempoh MTL ini, enam episod hujan lebat dijangka berlaku.
Next Post Previous Post