Sarawak perlu 500 pakar bidang kejuruteraan, matematik, sains komputer, kejuruteraan perisian

KOTA SAMARAHAN-- Sarawak memerlukan seramai 500 pakar dalam bidang kejuruteraan, matematik, sains komputer serta kejuruteraan perisian, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya ia bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Sarawak bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030. 

"Dengan adanya tenaga kerja yang terlatih dan berkemahiran tinggi, Sarawak akan memiliki sumber daya manusia yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi, inovasi, dan pembangunan negeri yang mapan.

"Saya percaya, melalui pelaburan dalam bidang pendidikan dan pembangunan kemahiran, Sarawak sedang membina landasan untuk masa depan yang lebih gemilang. 

"Oleh itu, saya berharap UNIMAS dapat memainkan peranan penting dalam memastikan aspirasi dan impian ini dapat dicapai, terutamanya melalui sumbangan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke-27 di DeTAR PUTRA di sini, hari ini.

Mengenai autonomi penuh dalam bidang pendidikan, menurut Abang Johari, Sarawak akan dapat menyelaraskan pendidikan dengan keperluan setempat.

Selain itu, katanya Sarawak juga dapat merancang programprogram inovatif, dan memberikan peluang yang lebih luas bagi pertumbuhan ilmu dan pengetahuan kepada generasi muda Sarawak. 



"Ini adalah langkah penting untuk memastikan anak-anak kita menerima pendidikan terbaik demi masa depan yang cemerlang.

"Selain itu, untuk mencapai aspirasi PCDS 2030, adalah jelas bahawa Sarawak memerlukan sejumlah besar profesional yang berkemahiran tinggi," jelasnya. 

Kata beliau lagi, Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam peralihan tenaga dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti air, solar dan angin selaras dengan usaha menjana pertumbuhan mampan dan sifar bersih Asia.

Tegasnya, bagi menjayakan sasaran tersebut, kerajaan negeri telah merancang untuk menawarkan pendidikan percuma melalui biasiswa Kerajaan Negeri di peringkat universiti dan pusat pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak menjelang 2026.

"Tidak hanya di peringkat Universiti dan Pengajian Tinggi, fokus pembangunan modal insan kelas pertama turut dimulakan di peringkat awal persekolahan. 

"Sehubungan itu, dalam hal ini kerajaan Sarawak sedang berbincang dengan kerajaan pusat untuk mendapatkan autonomi penuh dalam bidang pendidikan. 

"Saya percaya, dasar pendidikan yang stabil serta kemudahan yang baik dapat meningkatkan prestasi pendidikan anak-anak di negeri ini," ujarnya.
Next Post Previous Post