Sarawak mohon RM300 juta laksana pemetaan geologi

KUCHING— Kekangan peruntukan yang tidak mencukupi menyebabkan hanya 400 kilometer persegi kawasan dalam Sarawak sudah dilaksanakan pemetaan geologi.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata kebanyakan pemetaan ini berfokuskan di wilayah tengah Sarawak sedangkan ia boleh bersaiz sehingga puluhan ribu kilometer persegi berikutan keluasan negeri ini.

Sehubungan itu katanya, Sarawak telah memohon sebanyak RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi meluaskan kawasan pemetaan geologi untuk perancangan guna tanah bagi industri huluan pertengahan dan perhiliran.

“Dalam mesyuarat tempoh hari yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya telah menyuarakan perkara ini dan saya memohon tidak kurang daripada RM300 juta untuk menjalankan kerja pemetaan geologi.

“Biarpun peruntukan tersebut tidak mencukupi untuk meliputi seluruh Sarawak tetapi sekurang-kurangnya dapat meluaskan lagi pemetaan geologi tersebut.

“Pemetaan geologi ini amat penting bagi mendapatkan data berhubung dengan mineral yang ada terutamanya penemuan mineral baharu yang tidak diketahui,” katanya Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Apreasiasi Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Tahun 2023 pada Sabtu, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak. 

Tengah berkata, setakat ini kerajaan negeri telah memberi peruntukan sebanyak RM16 juta tetapi masih memerlukan peruntukan kerana pemetaan geologi dikendalikan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.

Pada majlis itu Tengah turut melancarkan buku Pelan Strategik MUDeNR 2023-2030 dan Pelan Pencegahan Rasuah Pertubuhan (OACP) MUDeNR Versi 02-2023 dan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada sembilan penjawat awam dari MUDeNR.
Next Post Previous Post