RM900 juta untuk laksana projek ART tahun depan

Gambar kredit FB La Promenade Mall

KUCHING-- Sebanyak RM900 juta diperuntukkan tahun depan untuk melaksanakan inisiatif kenderaan berkuasa hidrogen Autonomous Rapid Transit (ART) di bawah Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Premier Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak telah mencapai satu peristiwa bersejarah apabila ujian kejuruteraan prototaip ART berkuasa hidrogen berjaya dilaksanakan pada September 2023 di Isthmus Kuching.

Jelasnya, susulan itu, prototaip ART seterusnya menjalani latihan bukti konsep (POP) di Samarahan yang bermula hari ini.

"Tujuan latihan ini adalah untuk mendapatkan data prestasi kenderaan prototaip dan untuk mempamerkan keupayaan ART kepada orang ramai. 

"Kos pelaksanaan inisiatif ini dibiayai menerusi Pembiayaan Alternatif dan untuk tahun depan sejumlah RM900 juta akan diperuntukkan untuk projek itu," katanya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
 
Abang Johari berkata, jalinan antara kawasan luar bandar dan bandar akan diperkukuh dengan menambah baik kesalinghubungan dan mobiliti untuk memupuk integrasi ekonomi yang lebih baik.

Oleh itu, katanya, bagi memodenkan dan mentransformasikan pengangkutan bandar, kerajaan Sarawak telah memulakan pelaksanaan KUTS di mana pelaksanaan Fasa 1 merangkumi pembangunan tiga Laluan Autonomous Rapid Transit (ART). 

Tambahnya, operasi KUTS Fasa 1 akan disokong oleh perkhidmatan bas penumpang berkuasa hidrogen untuk menyediakan perkhidmatan dengan sambungan jarak pertama dan terakhir.

"Di samping itu, dalam usaha kami untuk menambah baik dan menaik taraf sistem pengangkutan awam, sejumlah RM5 juta akan disediakan pada tahun 2024 untuk pelaksanaan bas pintar untuk Bandaraya Miri bagi menyediakan perhubungan yang lebih baik dan meningkatkan mobiliti kepada rakyat," ujarnya.

Sementara itu Sarawak Metro Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan prototaip ART kini menjalani POP di Samarahan.

"Dimaklumkan bahawa berkuat kuasa hari ini, 20 November 2023, Latihan Prototaip Autonomous Rapid Transit (ART) Hydrogen Vehicle Proof-of-Concept (POC) di Lebuhraya Kuching-Samarahan sedang dijalankan secara rasmi. 

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa dalam perjalanan berhampiran laluan POC, khususnya antara Bulatan Pusat Jantung Sarawak dan Bulatan Institut Latihan Perindustrian (ILP). 

"Sila rujuk notis untuk aliran trafik dan lokasi sepanjang tempoh POC," ujarnya.
Next Post Previous Post