RM32.5 juta bantu pelajar IPT dari keluarga B40

Premier Sarawak memperagakan dokumen Belanjawan Sarawak. Gambar ihsan UKAS

KUCHING— Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Sarawak bakal mendapat manfaat daripada dua inisiatif utama dalam Belanjawan Sarawak 2024. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Negeri berusaha untuk membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana terutamanya apabila ia melibatkan kos pendidikan anak-anak. 

“Baucar Buku RM500 seorang (diberikan) untuk pelajar IPTA dan IPTS Sarawak bagi isi rumah berpendapatan per kapita RM1,500 sebulan dan ke bawah. 

“Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada 35,000 pelajar universiti dan kolej. 

“Sejumlah RM17.5 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini tahun depan yang akan diuruskan oleh Yayasan Sarawak,” katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan Sarawak 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.

Premier Sarawak menambah, komputer riba percuma juga akan diberikan kepada pelajar Sarawak berkelayakan yang telah berjaya mendaftar ke IPTA dan IPTS. 

“Bagi isi rumah berpendapatan per kapita RM1,500 sebulan dan ke bawah, bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada 5,000 pelajar dengan peruntukan RM15 juta dalam Bajet kali ini. 

“Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan pelajar kita dengan teknologi penting yang mereka perlukan untuk cemerlang dalam usaha akademik masing-masing,” ujarnya.
Next Post Previous Post