RBC 2.0 tawar geran perniagaan RM15 juta untuk dimenangi usahawan belia berpotensi
PUTRAJAYA-- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan 2,500 usahawan belia dari seluruh negara menyertai Program Rural Business Challenge (RBC) 2.0.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, RBC 2.0 itu menawarkan geran perniagaan berjumlah RM15 juta untuk dimenangi usahawan berpotensi.
"Program RBC 2.0 merupakan kesinambungan daripada Program RBC terdahulu iaitu program pengembangan perniagaan melalui pertandingan rancangan perniagaan dalam kalangan usahawan desa.
"Dengan mengutamakan usahawan-usahawan belia luar bandar yang menjalankan perniagaan berimpak tinggi, kreatif, inovatif, berteraskan ekonomi digital, bioekonomi dan ekonomi hijau demi memastikan kerajaan mendapat 'best value for money' serta memberikan limpahan peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar.
"Dalam ucapan, saya maklumkan hadirin bahawa peruntukan berjumlah RM15 juta sebagai geran untuk dimenangi oleh para usahawan belia luar bandar bagi merealisasikan matlamat Program RBC 2.0 serta mengumumkan permohonan untuk menyertai Pertandingan RBC 2.0 Tahun 2023 secara rasminya dibuka pada hari ini melalui laman sesawang RBC 2.0 (https://rbc2u.com)," katanya dalam hantaran Facebooknya.
Tambah Rubiah, seramai 19 usahawan desa yang mencapai jumlah nilai jualan melebihi RM 1 juta setelah 12 bulan mengikuti Aktiviti Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J) KU1J@KPLB yang juga merupakan salah satu daripada aktiviti sokongan keusahawanan yang dirancang di bawah Program RBC 2.0.
Jelasnya, aktiviti Bimbingan KU1J adalah merupakan satu program coaching dan mentoring usahawan desa bersama pakar pembimbing perniagaan bagi mencapai jumlah nilai jualan tahunan RM1 juta yang pertama.
"Sepanjang 12 bulan, para peserta didedahkan dengan bimbingan secara fizikal dan maya yang intensif dalam bidang keusahawanan merangkumi Pengurusan Pemasaran, Pematuhan, Operasi, Kepimpinan, Pembangunan Perniagaan serta Aktiviti Mentoring.
"Saya percaya elemen coaching dan mentoring amat signifikan dalam memastikan usahawan ini dapat diterapkan dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan baik dari segi ilmu pengurusan perniagaan dan pemasaran digital demi memastikan usahawan-usahawan desa kekal berdaya maju dan bersaing dengan usahawan-usahawan lain," ujarnya.
Untuk pengetahuan pemenang RBC 2.0 disyaratkan melaksana perniagaan seperti yang dicadangkan dalam rancangan perniagaan (RP) berdasarkan jumlah geran dimenangi.
Permohonan untuk menyertai program tersebut dibuka bermula hari ini menerusi laman sesawang berikut.
Tarikh tutup penyertaan pada 31 Januari tahun depan.