Premier Sarawak hadiri Mesyuarat SDG Negara 2023
KUALA LUMPUR-- Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg antara pemimpin yang hadir pada Mesyuarat Majlis Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara Tahun 2023 yang diadakan di Bangunan Parlimen pada Selasa.
Mesyuarat berlangsung kira-kira sejam itu telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia turut dihadiri Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri serta wakil-wakil kementerian.
Mengiringi Premier Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Ketika ditemui, Premier Sarawak berkata mesyuarat tersebut membincangkan mengenai SDG di bawah 17 perkara-perkara yang dipantau oleh Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, mesyuarat itu juga turut menyentuh mengenai pembangunan ekonomi yang seimbang dan juga mengenai kemiskinan serta tenaga boleh diperbaharui.
“Pihak Pesuruhjaya PBB ada menyebut mengenai apa yang dilaksanakan oleh Sarawak dari sudut 'renewable energy'.
“Dalam pembangunan, kita mengambil kira apa yang telah disebutkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai program sustainability,” katanya dipetik UKAS.
SDG dilaksanakan dalam tiga fasa mengikut rancangan pembangunan negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-11, 2016-2020 dan kini sedang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025 serta akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13, 2025-2030.
Pelaporan kemajuan SDG negara dilaksanakan setiap empat tahun, sejajar dengan saranan PBB agar pembentangan laporan dilakukan secara berkala menerusi Laporan Semakan Kebangsaan (VNR).
Sementara itu, Premier Sarawak dijadual menghadiri Sarawak - Petronas Annual Strategic Dialogue 2023 di Petronas Twin Tower, Kuala Lumpur pada Rabu.
Terdahulu, beliau dijadual menerima kunjungan hormat dari Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.
Gambar UKAS