Populasi buaya di Sarawak meningkat dua kali ganda

KUCHING— Populasi buaya di Sarawak yang dibanci sehingga tahun ini mencecah kira-kira 25,000 ekor bagi tempoh 9 tahun, dedah Datuk Len Talif Salleh.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak itu berkata, jumlah itu meningkat dua kali ganda berbanding 13,000 buaya direkodkan pada 2014.

Memetik Berita Cats, purata kes membabitkan serangan buaya di negeri ini mencatatkan sebanyak enam kes setiap tahun.

“Peningkatan kehadiran reptilia itu amat membimbangkan hingga mengancam keselamatan masyarakat setempat khususnya di kawasan-kawasan yang tidak pernah ada kewujudan buaya sebelum ini termasuk di Kampung Rajang,” katanya pada Sidang Media selepas sesi jawab lisan Persidangan Hari Kedua Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, di sini, pada Selasa.

Justeru itu, beliau berkata pelbagai pendekatan telah diambil oleh kerajaan negeri menerusi Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk mengurangi populasi buaya di negeri ini antaranya menjalankan operasi menakai (culling) buaya, memasang poster amaran buaya serta mewujudkan kawasan bebas buaya di sungai dan darat.

Sementara itu, bagi menjawab soalan dari ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi pada sesi lisan, Datuk Len berkata kerja-kerja pemantauan kehadiran buaya di sungai-sungai Sarawak sentiasa dijalankan oleh pasukan Swift Wildlife Action Team (SWAT) SFC termasuklah di Sungai Balingian.

Tambahnya, sepanjang tahun ini dua aktiviti pemantauan telah dilakukan di kawasan Balingian dan dua ekor buaya telah ditakai sehingga kini.

Len berkata, hasil daripada survei pada bulan Mei 2023 anggaran populasi buaya di sepanjang Sungai Balingian adalah sebanyak 114 ekor iaitu peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding 83 ekor pada tahun 2014.

“Oleh yang demikian, masyarakat setempat adalah dinasihatkan agar sentiasa berwaspada apabila menjalankan aktiviti di sungai.
 
“Antara inisiatif Kerajaan dalam menangani konflik manusia dan spesies buaya ini termasuklah akan menyediakan Aplikasi pemantauan buaya yang sedang dibangunkan untuk membantu orang ramai mendapatkan maklumat lokasi ’hot-spot’ buaya. 

Katanya, bagi memperkasakan pengurusan buaya secara bersepadu di Sarawak, SFC telah bekerjasama dengan perunding dalam dan luar negara seperti dari International Union for Conservation of Nature - Species Survival Commission (IUCN-SSC) Crocodile Specialist Group (CSG) dan pakar-pakar dari Australia serta Afrika Selatan.
Next Post Previous Post