Polis siasat kes buli MCKK

Gambar Kredit Instagram Amira

KUALA LUMPUR—Kes buli membabitkan sekumpulan pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan secara sukarela.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pelaku jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama setahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, dalam kejadian itu mangsa Tingkatan 4 dikatakan dipukul hingga cedera oleh pelajar Tingkatan 5.

“Polis menemui mesej tular berhubung kejadian itu pada Sabtu selepas ia disiarkan di laman sosial Instagram.

“Buli itu berlaku pada 24 September kira-kira jam 10.05 malam. Dalam kejadian itu, mangsa seorang pelajar tingkatan empat dibelasah oleh pelajar tingkatan lima,” katanya.

Beliau menambah, mangsa telah di bawa ke Hospital Kuala Kangsar oleh pihak sekolah untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

“Doktor yang merawat mangsa telah mengesahkan hasil pemeriksaan Normal Physical Finding, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan parah,” katanya.

Sejak semalam kes terbabit turut tular di X, apabila seorang wanita menerusi bebenang mendakwa, pengurusan MCKK gagal menangani perkara berkenaan dengan baik, termasuk menjatuhkan hukuman setimpal ke atas semua pelajar terbabit.

Dikenali sebagai Yong Zanariah, beliau yang menggunakan akaun @NanaZamri berkata, semua pelaku hanya dikenakan hukuman ringan seperti membayar pampasan kepada mangsa.

“Pelaku hanya melakukan kerja-kerja amal dan hukuman rotan di kawasan tertutup selain membuat permohonan maaf secara terbuka, diberi kaunseling dan tulis surat akujanji,” katanya dalam perkongsian itu.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipetik Getaran berkata, amat mengejutkan apabila ibu bapa mangsa terpaksa menulis surat kepada pihak sekolah untuk mendapatkan penjelasan.

Katanya, peningkatan kes buli di sekolah semakin menjadi-jadi dengan 4,994 kes direkodkan setakat bulan lepas.

“Ini trend yang sangat-sangat membimbangkan. Lagi mengejutkan bila saya baca berita ni. 

“Sampai ibu bapa yang kena tulis surat untuk dapatkan perhatian sekolah. Mangsa buli sampai masuk hospital, tapi mereka yang membuli? Hanya setakat tulis surat akujanji, buat kerja amal untuk sekolah?” katanya.
Next Post Previous Post