Polis selamatkan budak perempuan 12 tahun jadi hamba seks
KENINGAU— Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun kerana disyaki berperanan sebagai ‘transporter’ pemerdagangan manusia eksploitasi seks melibatkan tiga wanita termasuk budak berusia 12 tahun di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata penahanan itu hasil serbuan Op Pintas di sekitar daerah ini dan mengesan aktiviti pemerdagangan orang dan eksploitasi seks.
“Serbuan pertama di sebuah inap desa di daerah ini menyelamatkan dua wanita berusia 30 dan 12 tahun.
“Ketika serbuan itu juga, polis menahan dua lelaki berusia 44 dan 15 tahun termasuk berperanan sebagai 'runner' dan 'transporter’,” katanya dipetik Berita Harian.
Katanya, serbuan kedua dilakukan di sebuah hotel di Jalan Lintas Plaza, Kota Kinabalu dan menyelamatkan seorang lagi wanita berusia 19 tahun dan pasukan serbuan turut menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 23 tahun
“Polis merampas wang tunai RM785, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama dan beberapa keping kondom.
"Siasatan awal mendapati seorang daripada tiga suspek berperanan sebagai 'runner' dan 'transporter' untuk menghantar mangsa sekiranya ada pelanggan di kawasan berhampiran.
"Dua lagi suspek pula berperanan mencari pelanggan melalui aplikasi MiChat," katanya.
Modus operandi yang digunakan semua suspek ialah bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain sebagai tempat beroperasi untuk mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Katanya, suspek direman selama lima hingga tujuh hari mengikut Seksyen 12/14 Akta Anti Pemerdagangan Manusia (ATIPSOM) 2007.
Sementara itu serbuan bermula jam 8.11 malam pada 2 Oktober hingga 12.30 tengah malam dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.