Pendapatan Sarawak dijangka lebih RM12 bilion pada 2023

KOTA SAMARAHAN-- Pendapatan Sarawak dijangka melebihi RM12 bilion bagi tahun kewangan 2023 yang akan diumum Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hujung bulan ini.

Penuh istiadat...Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-27 di DeTAR PUTRA di sini, hari ini.

Berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke-27 di DeTAR PUTRA di sini, hari ini, beliau memberi bayangan rekod pendapatan tertinggi Sarawak sebanyak RM12 bilion pada 2022 mungkin akan dipecahkan.

"Pengumuman Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia juga adalah berdasarkan statistik data ekonomi, sekali gus memberi petunjuk bahawa ekonomi di negeri ini sedang membangun
dengan amat cemerlang. 

"Sarawak turut mencatatkan pendapatan luar daripada jangkaan sebenar bagi tahun kewangan 2022 dengan pendapatan sebanyak RM12 billion, yang merupakan prestasi hasil tertinggi yang pernah dicapai oleh Sarawak. 



“Saya akan umumkan hasil 2023 yang nampaknya mampu memecahkan rekod 2022 (yang saya akan umum) dalam tempoh tiga minggu lagi,” katanya.

Premier Sarawak ketika menyampaikan ijazah kepada salah seorang graduan.

Tambah Abang Johari, dengan peningkatan pendapatan Sarawak akan membolehkan lebih banyak projek infrastruktur mega dapat dilaksanakan sekali gus mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan rakyat.

Tegasnya, ini kerana kerajaan Sarawak 
sangat komited untuk melaksanakan projek infrastruktur seperti sistem perhubungan jalan raya di kawasan luar bandar.

Katanya, dengan itu ia dapat mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar.

"Selain itu, untuk menyokong pembangunan berterusan di Sarawak, yang meliputi kawasan hampir setara dengan Semenanjung Malaysia, Kerajaan Negeri turut berhasrat untuk menubuhkan sebuah syarikat
penerbangan butik di negeri ini yang juga akan beroperasi ke destinasi-destinasi terpilih di rantau Asia.

"Saya yakin perancangan ini akan memberikan kesan positif kepada sektor pelancongan negeri dengan meningkatkan aksesibiliti ke destinasi-destinasi menarik di Sarawak dan Borneo secara amnya," katanya.

Para graduan yang telah menerima ijazah dalam pelbagai peringkat pengajian iaitu ljazah Doktor Falsafah, ljazah Sarjana dan ljazah Sarjana Muda sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-27.

Pada masa sama beliau memberitahu langkah ini dijangka akan meningkatkan pendapatan negeri melalui pertumbuhan sektor pelancongan dan perdagangan, serta memberikan peluang ekonomi yang lebih luas kepada penduduk
tempatan. 

Menurutnya lagi, penubuhan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Sarawak ini juga selaras dengan pertumbuhan pesat di Pulau Borneo yang bakal menjadi tumpuan dunia apabila Ibu Kota Negara (IKN) Indonesia iaitu Nusantara di Kalimantan Timur apabila dibuka kelak. 

"Saya percaya dengan kedudukan
geografi yang strategik, Sarawak berpotensi menjadi hub dalam pelbagai bidang kerjasama antara Malaysia dan Indonesia di masa akan datang," ujarnya.
Next Post Previous Post