Pelbagai bantuan untuk pelajar Sarawak dalam Belanjawan Negeri 2024

KUCHING-- Kerajaan Sarawak bakal mengumumkan bantuan khusus pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta hujung November ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu akan diumumkannya pada pembentangan Belanjawan Negeri 2024 pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijadualkan berlangsung mulai 20 hingga 29 November 2023.

"Bantuan untuk pelajar akan diberi perhatian kerajaan Sarawak pada Belanjawan Negeri 2024 yang dijangka dibentangkan hujung November ini.

"Memang dalam dasar kita ke arah memberikan pendidikan percuma kepada anak Sarawak.

"Kita menuju ke arah ini dan dalam Belanjawan Negeri 2024 nanti kita mengambil kira juga bantuan yang harus kita beri kepada anak-anak Sarawak yang menuntut di IPTS dan IPTA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pameran LATerasi Kewangan Bank Negara Malaysia 2023 di Borneo Culture Museum di sini hari ini.

Jelas Abang Johari, ini bagi memenuhi keperluan anak-anak Sarawak yang menuntut di IPTA dan IPTS selain mengurangkan beban mereka terutama dari golongan B40.

"Kita tahu bahawa banyak perkara-perkara yang perlu mereka miliki dan maka disebabkan itu saya telah mengarahkan untuk menimbang bagaimana kita dapat membantu pelajar kita.

"Yang saya tahu mereka yang berada di IPTA dan IPTS dalam tempoh setahun kira-kira 5,000 orang yang harus kita bantu khasnya dari keluarga B40," tegasnya.

Selain daripada itu, beliau berkata kerajaan Sarawak juga mempertimbangkan untuk memberi bantuan buku teks kepada pelajar IPTA dan IPTS.


"Mengenai buku iaitu buku teks agak mahal juga dan kita akan memberi bantuan juga buku teks kepada pelajar kita di IPTA dan IPTS

"Ini adalah untuk pelajar Sarawak dan ada lagi bantuan lain yang akan saya umumkan pada Belanjawan Negeri 2024," ujarnya.

Persidangan DUN Sarawak dijadualkan berlangsung mulai 20 hingga 29 November 2023.

Persidangan DUN kali ini pastinya menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan oleh semua pihak kerana kelazimannya Belanjawan Negeri 2024 akan dibentangkan.
Next Post Previous Post