Pastor di Miri jadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud, rugi RM430,000

MIRI-- Seorang pastor di Miri rugi RM430,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, polis menerima laporan berhubung kes itu pada semalam yang dibuat seorang lelaki berusia lewat 40-an yang merupakan seorang pastor di Miri. 

"Pada 19 Julai 2023 semasa berada di rumah, mangsa telah melayari Facebook, dan telah tertarik dengan iklan pelaburan saham luar negara yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook atas nama Master Peng Fengshui (pautan tidak ingat).

"Seterusnya, mangsa telah dimasukkan ke dalam satu whatsapp kumpulan menggunakan nama Gao Sheng Business Scholl 107. 

"Mangsa kemudian berurusan dengan seorang perempuan bernama Yuki (suspek) yang akan membantu dalam pembelian saham pelaburan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, mangsa berminat
telah melabur menggunakan website di pautan
https://www.kaiduoli.com. 

Tambah Azman mangsa telah dijanjikan pulangan awal keuntungan dalam masa seminggu sebanyak 10 peratus dalam pelaburan
saham ini.

"Mangsa kemudian telah membuat 11 kali transaksi pindahan wang
sebanyak lebih kurang RM430,000 secara berperingkat kepada tiga
akaun bank yang berbeza bermula dari awal bulan September 2023
sehingga hujung bulan Oktober 2023. 

"Mangsa sedar telah ditipu apabila
suspek meminta mangsa untuk membuat pembayaran tambahan sebanyak RM300,000 sedangkan mangsa hanya mendapat keuntungan lebih kurang RM3,000 sahaja dalam pelaburan ini," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja.
Next Post Previous Post