Mayat tanpa identiti ditemui terjatuh ke dalam longkang di kawasan Paragon
BINTULU: Penduduk setempat dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki tanpa identiti dalam longkang kawasan Jalan Paragon berdekatan SK St Anthony tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit dalam kenyataannya berkata, mayat mangsa ditemui sekitar jam 12.45 tengah hari dan disyaki terjatuh ke dalam longkang berdekatan sekolah terbabit.
"Identiti mangsa masih belum dapat dikenalpasti kerana tiada pengenalan diri dijumpai pada badan mangsa," ujarnya.
Hasil siasatan awal yang dijalankan jelasnya mendapati mangsa dipercayai jatuh tergelincir ke dalam longkang dan mengalami hentakan di kepala ketika cuba melintasi longkang besar tersebut yang setinggi 2 meter semasa menggunakan papan kecil untuk menyeberangi longkang tersebut.
Pemeriksaan yang dijalankan ke atas badan mangsa ujarnya tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah yang dikaitkan dengan kes ini.
"Kes ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR)," jelas Batholomew.
Orang ramai dalam masa sama tegasnya dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Sekiranya ada mana-mana pihak yang ada kehilangan ahli keluarga, boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes SJN Ahmad Amir bin Youb Bahari di talian No 013-5653756 atau bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.