Lima tahun tunggu, pembeli rumah Sentoria akhirnya dapat kunci

Datuk Abdul Rahman Junaidi menyampaikan OP kepada salah seorang pembeli perumahan di Borneo Samariang Garden hari ini. Gambar ihsan Jiwa Bakti
 
KUCHING— Impian pembeli perumahan Borneo Samariang Garden Fasa 5 untuk berpindah ke kediaman mereka akhirnya tercapai selepas penantian lebih lima tahun.

Borneo Network sebelum ini melaporkan, pembeli perumahan ini sepatutnya menerima unit yang dibeli pada tahun 2019 sehingga 2020.

Kelewatan penyerahan projek perumahan BSG oleh pemaju telah menyebabkan pelbagai masalah, khususnya kepada pembeli, akibat dari keperluan untuk setiap pembeli membayar ansuran bulanan yang tinggi iaitu RM800 hingga RM1,800 sebulan. 

Sebelum ini, pembeli terpaksa membayar ansuran bulanan beserta kadar sewa rumah yang tinggi terutamanya di kawasan-kawasan di sekitar Kuching dan Samarahan yang kini hampir mencecah RM2,500 sebulan.

Namun, penyerahan permit menduduki (OP) hari ini mengakhiri kemelut itu, hasil campur tangan kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Perumahan Teres Satu Tingkat B23/Fasa Lima Borneo Samariang Garden (JBPF5) Mohd Zulfika Abdolkader yang mewakili pembeli menzahirkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas kejayaan menangani kemelut perumahan sejak sekian lama.
 
“Beberapa tahun lalu kami dapati isu itu mustahil untuk diselesaikan tetapi atas komitmen Kerajaan Sarawak, ia berjaya diselesaikan,”

“Kejayaan ini menunjukkan komitmen dan keprihatinan dalam menyelesaikan isu perumahan yang sekian lama tertangguh,” katanya dipetik Jiwa Bakti, selepas majlis penyerahan Permit Menduduki (OP) kepada 154 pembeli pembangunan Perumahan Sentoria di Auditorium Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, hari ini. 

Mohd Zulfika menambah, pihaknya amat menghargai bantuan Ahli Parlimen Petra Jaya merangkap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof membiayai khidmat guaman kepada pemilik untuk memperjuangkan hak mereka.
 
Selain itu Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalannya, Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel. 
 
Untuk rekod, projek perumahan yang bermula sejak 2018 itu membabitkan lebih 1,000 unit rumah terdiri fasa empat, lima dan tujuh membabitkan kira-kira 600 unit, manakala Spektra 1 dan Spektra 2 pula 500 unit.
 
Tahun lalu, Abang Johari mengumumkan Kerajaan Sarawak memutuskan untuk mengambil alih projek berkenaan.
Next Post Previous Post