Lilian Hamdan, wanita pertama dilantik Ketua Balai Polis di IPD Miri

Majlis serah terima tugas antara Raja Sukri (kiri) kepada Ketua Polis Daerah Batu Niah yang baharu, Lilian Hamdan (kanan) berlangsung di Bilik Mesyuarat Balai Polis Batu Niah dengan disaksikan Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu. Gambar Ihsan PDRM

BATU NIAH— Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri melakar sejarah selepas melantik seorang wanita sebagai Ketua Balai Polis Batu Niah yang baharu.

Pelantikan bekas Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Miri, Sarjan Lilian Hamdan itu menjadikannya wanita pertama yang menjawat jawatan itu di bawah IPD Miri.

IPD Miri dalam kenyataan berkata, Lilian telah ditukarkan ke Balai Polis Batu Niah 17 Oktober lalu bagi menggantikan Sarjan Raja Sukri Raja Daud yang bersara wajib pada 22 November ini.

Beliau mula berkhidmat di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 10 April 1999. 

Pada 1 Julai 2016, beliau telah dinaikkan ke pangkat Sarjan dan bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah. 

Sementara itu, Lilian melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada (PDRM) kerana memberi kepercayaa kepada beliau untuk menjawat jawatan Ketua Balai polis.

“Saya berharap mendapat tunjuk ajar dari rakan-rakan Ketua Polis Balai yang lain dan juga dari ketua – ketua bahagian yang lain,” katanya berucap pada Majilis Serah Terima Tugas Ketua Balai Polis Batu Niah di Bilik Mesyuarat Balai Polis Batu Niah, pada Isnin.

Majlis disaksikan oleh Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu.

Alexson berkata, pihak IPD Miri merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Raja Sukri yang banyak menyumbang bakti sejak ditugaskan sebagai Ketuai Balai Polis Batu Niah pada 11 November 2017.

“Beliau seorang anggota yang paling lama bertugas di IPD Miri, iaitu semenjak tahun 1982. Walaupun telah mengakhiri perkhidmatan di dalam PDRM namun pengalaman dan sumbangan beliau masih lagi diperlukan. 

“Beliau juga telah menunjukan contoh dan tauladan yang baik semenjak menjawat jawatan KPB Batu Niah. Harapan kami, tauladan yang baik ini akan diteruskan oleh Sarjan Lilian yang memikul tanggungjawab sebagai Ketua Polis Balai Batu Niah,” katanya.

Turut hadir Ketua Cawangan Khas Daerah Miri Harefnizam Ismail, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Miri, DSP Nor Aizan Mohd Jamil dan Ketua-ketua Bahagian, dan Ketua-ketua Polis Balai.
Next Post Previous Post