Lebih 9000 orang ditangkap kes dadah

KUCHING-- Seramai 9,198 orang telah ditangkap kerana terbabit dadah di Sarawak dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM127.3 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 1,233 orang tangkapan atau 15 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2022.

"Nilai rampasan dadah juga menunjukkan peningkatan iaitu
RM127.3 juta atau 1,258 peratus pada tahun ini berbanding tahun 2022," katanya pada sidang media hari ini.

Jelasnya, rampasan dadah ini boleh digunakan oleh seramai 2,703,578 penagih.

Mengulas lanjut, Azman menjelaskan bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM5.08 juta telah disita sehingga Oktober 2023 berbanding RM2.4 juta bagi tempoh yang sama tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 111 peratus.

Katanya lagi, sebanyak 1,682 kes (90 peratus) daripada 1,856 kertas siasatan yang dibuka sehingga Oktober 2023 telah dituduh di mahkamah bagi kes Bekalan dan Memiliki, berbanding 1,721 kes (86 peratus) daripada 1,721 kertas siasatan yang dibuka pada tempoh sama tahun 2022.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk menyalurkannya ke hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ( JSJN) Bukit Aman di talian 012-2087222.
Next Post Previous Post