Lebih 23,000 pengguna jalan raya dikesan memandu tanpa lesen di seluruh negara




KOTA KINABALU-- Padah tidak miliki lesen, memandu, seramai 23,748 pengguna jalan raya di seluruh negara dikenakan notis sepanjang Op Patuh Bersepadu 2023 yang berakhir 24 November lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, ia hasil pemeriksaan ke atas 554,372 kenderaan dalam operasi selama 14 hari yang dilancarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara.

"Kesalahan ini adalah yang tertinggi berjaya dikesan sepanjang Op Patuh Bersepadu 2023 yang berakhir 24 November lalu.

"Kebanyakan pesalah berkenaan adalah membabitkan individu berusia lingkungan seawal 15 hingga 35 tahun," katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan yang diadakan di Taman Awam Teluk Likas, Jalan Tun Fuad Stephan, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, sepanjang operasi Op Patuh Bersepadu itu, JPJ turut mengeluarkan notis terhadap 17,447 kenderaan cukai jalan tamat tempoh dan 13,857 kenderaan yang dikesan tidak mempunyai perlindungan insurans.

Tambahnya, manakala notis lain yang dikeluarkan adalah membabitkan kesalahan teknikal sebanyak 12,191 notis, tiada lesen vokasional 4,902 notis dan lebih muatan 2,329 notis.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sepanjang operasi itu turut mengesan tujuh kesalahan utama iaitu memotong barisan, melanggar lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Jelasnya, JPJ turut mengambil tindakan tegas terhadap 4,797 pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan.

"JPJ tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas kepada pemilik atau pemandu yang masih melanggar peraturan ditetapkan.

“JPJ juga memfokuskan kepada penguatkuasaan pematuhan piawaian teknikal dan keselamatan pemanduan kenderaan," ujarnya.

Tambahnya, ini juga termasuk kesalahan pengubahsuaian pelbagai aspek spesifikasi keselamatan teknikal motosikal yang tidak dibenarkan.

Selain itu, beliau membertiahu operasi berkenaan adalah salah satu strategi melandaikan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Dalam operasi itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Next Post Previous Post