KPM belum merancang pasang Starlink di sekolah pedalaman Meluan

KUCHING— Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) belum merancang untuk memasang perkhidmatan Starlink bagi meningkatkan liputan internet di sekolah-sekolah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, berkata setakat ini KPM masih mempunyai kontrak perkhidmatan dengan syarikat telekomunikasi sehingga 30 Jun 2024.

“Keseluruhannya perkhidmatan satelit Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entabai, SK Nanga Ju, SK Nanga Maong dan SK Nanga Jambu memuaskan kecuali di SK Nanga Ensiring.

“Namun perkhidmatan ini boleh terganggu akibat pelbagai faktor yang di luar kawalan seperti cuaca.

“Oleh itu, untuk jangka panjang KPM akan berusaha untuk mendapatkan liputan di sekolah tersebut,” katanya.

Hardin menjawab soalan Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin yang bertanyakan status liputan telekomunikasi di sekolah-sekolah berkenaan pada Persidangan (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau menambah, setakat ini pihak sekolah menggunakan internet-in-a box Raspberry Pi yang disediakan oleh kementeriannya.

“Bagi SK Ulu Entabai, SK Nanga Ju, SK Nanga Maong, SK Nanga Ensiring dan SK Nanga Jambu pada masa ini, capaian internet menggunakan perkhidmatan syarikat telekomunikasi yang telah dilantik,” katanya.
Next Post Previous Post