KJ perlu berhenti menyalahkan orang - Tiong

KUALA LUMPUR— Desakan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) adalah tidak munasabah dan 'membingungkan’, kata Datuk Seri Tiong King Sing.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu menyifatkan tindak balas Khairy yang tidak dapat menerima keputusan bahawa RUU ini adalah tidak berperlembagaan (unconstitutional) dan tidak boleh dikuatkuasakan (unenforceable).

“RUU yang anda cadangkan ini tidak mempunyai asas yang kukuh untuk dipertahankan, dan apa yang lebih penting, tidak seharusnya anda menyalahkan menteri lain hanya untuk melempiaskan kekecewaan anda.

“Penguatkuasaan undang-undang secara paksa tiada ruang dalam masyarakat, Khairy usah salahkan orang lain atas kegagalan GEG,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Tiong menambah, Khairy telah gagal membuktikan secara konsisten bahawa kanser itu berpunca daripada tabiat merokok, malah gagal melaksanakan langkah dengan menubuhkan pusat penyelidikan atau institusi berkaitan untuk menganalisis dan menyelidik dengan lebih lanjut mengenai data terperinci pesakit kanser.

“Khairy adalah Menteri Kesihatan yang paling gagal. Anda gagal di negara kita.

“Ironinya, sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Menteri Kesihatan, selain daripada cuba meningkatkan populariti dan imej sendiri apakah sumbangan lain beliau kepada sistem kesihatan negara kita? Jika tiada, beliau tidak harus menuding jari ke arah menteri lain termasuk saya atas kegagalan RUU GEG diluluskan,” tegas Tiong sambil menambah beliau sudah berulang kali menyatakan keraguan terhadap RUU tersebut ketika bersidang di Parlimen.

Menurut Tiong, namun ketika itu selain tidak memberi jawapan secara terperinci, Khairy juga dilihat tidak pernah menjawab soalan berkaitan perkara tersebut secara khusus. 

“Apa yang lebih melampau apabila beliau mengeluarkan kenyataan bahawa golongan B40 merupakan kumpulan majoriti yang terjejas dengan penyakit seperti kanser, sakit jantung dan penyakit berkaitan paru-paru akibat komplikasi merokok. 

“Hakikatnya ramai pesakit kanser tidak mempunyai sejarah merokok, malah jarang menghidu asap rokok dalam kehidupan seharian mereka. Jadi bagaimana keadaan dan pengalaman mereka yang berkait dengan kanser ini dapat dijelaskan?,” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan, Rang undang-undang yang dimaksudkan itu dikenali sebagai Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023, yang antara lain mengandungi peruntukan untuk melarang sesiapa yang dilahirkan selepas 2007 daripada membeli dan mengambil produk tembakau dan vape - yang kini dikenali sebagai GEG.

Memetik Malaysiakini, Khairy menyalahkan Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Azalina Said Othman, Tiong dan "the gaffer" - dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim - kerana menurutnya menghalang rang undang-undang itu.

Khairy membuat kenyataan itu susulan laporan badan pemerhati kesihatan CodeBlue yang mendakwa rang undang-undang GEG telah digugurkan kabinet pada Jumaat lepas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bahawa peruntukan GEG dalam rang undang-undang itu adalah "tidak berperlembagaan" kerana ia melanggar Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang.

"Bagi (Jabatan Peguam Negara), akan ada dua set undang-undang untuk dua kumpulan rakyat berbeza berdasarkan umur," kata sumber kepada CodeBlue.
Next Post Previous Post