Kes saman sivil Ragad: Sulaiman, Bekir namakan bapa mereka Tun Taib defendan ketiga

 
KUCHING -- Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud disenaraikan sebagai defenden ketiga bagi kes saman sivil membabitkan isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib dan RHB Investment Bank Berhad.

Kes itu difailkan anak Tun Taib, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib dan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib (plaintif) yang memfailkan permohonan menamakan bapa mereka sebagai defendan dalam kes tersebut.

Memetik laporan Utusan Borneo, permohonan itu dikemukakan oleh peguam plaintif Alvin Chong dan Jonathan Tay menerusi dokumen yang diserahkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew menerusi e-review pada 6 November 2023.

Sebelum ini, plaintif pada awal Oktober mencabar kesahihan tandatangan Tun Taib bagi dokumen (TPR-6) berkaitan pemindahan saham Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) kepada Ragad.

Kemudian, peguam defendan pertama bagi kes ini (Ragad) iaitu Shankar Ram telah mengemukakan afidavit sahih di mahkamah yang menyatakan dokumen berkenaan ditandatangani oleh Tun Taib dan telah disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah Mahkamah Tinggi. 

Disebabkan itu, plaintif mencadangkan Tun Taib sebagai defendan ketiga. 

Sementara itu, defenden menerusi peguamnya Shankar semasa sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini membantah permohonan tersebut.

Katanya, cubaan plaintif kerana tuntutan sebegitu menimbulkan beberapa isu perlembagaan serius yang sepatutnya ditangani dengan cara paling sesuai dan matang.

Tambahnya ia juga melibatkan Gabenor Sarawak yang kini masih berkhidmat sebagai pemerintah negeri.

Beliau semasa prosiding juga membawa mahkamah untuk meneliti peruntukan Perkara 181, 182, 183 dibaca bersama Perkara 160(2) yang merupakan tafsiran perkataan pemerintah dan khususnya Artikel 181 hingga 183 dengan jelas atau nyata menggunakan perkataan pemerintah sesebuah negeri selain membawa maksud sultan.

Jelasnya, Peruntukan Perkara 1, 10 dan Perkara 44 Perlembagaan Sarawak dengan jelas menyatakan bahawa tiada prosiding boleh dikemukakan terhadap Gabenor atas kapasiti peribadinya kecuali di Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan (dengan Ketua Hakim Negara sebagai salah seorang hakim).

"Plaintif juga tidak meminta persetujuan Jabatan Peguam Negara secara peribadi untuk memulakan sebarang prosiding terhadap Gabenor dan ini adalah selain daripada kedudukan perlembagaan di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan aset dan/atau harta orang Islam," ujarnya.

Sementara itu, peguam Tan Kee Heng yang mewakili defendan kedua dalam kes ini, RHB Investment Bank Berhad juga bersependapat dengan Shankar.

Tegas Tan, tuntutan tersebut harus disampaikan terlebih dahulu kepada defendan ketiga itu sendiri (Tun Taib) terutamanya setelah mengambil kira kedudukan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak. 

Katanya, ini supaya semua isu yang berkaitan khususnya mengenai perkara-perkara penting dalam perlembagaan boleh diutarakan oleh semua pihak terlibat di hadapan mahkamah untuk penentuan adil.

"Dalam hal ini saya ingin mengambil perhatian mahkamah mengenai Perkara 181 hingga 183 Perlembagaan Persekutuan, berkaitan dengan prosiding yang akan dikemukakan terhadap pemimpin sesebuah negeri atas kapasiti peribadinya," ujarnya.

Menurutnya lagi bidang kuasa untuk mendengar kes mengenai pemimpin sesebuah negeri atas kapasiti peribadinya hendaklah hanya terletak pada mahkamah khas di bawah Perlembagaan Persekutuan dan bukannya mana-mana mahkamah lain di Malaysia.

Sebelum ini, Ragad disaman oleh anak tirinya Sulaiman dan Mahmud Abu Bekir yang memohon injunksi mahkamah untuk menghentikan pemindahan saham daripada syarikat itu kepada Ragad.

Dalam pada itu, Siew menetapkan 27 November 2023 sebagai pengurusan lanjut kes terbabit, selain untuk mengeluarkan arahan seterusnya bagi semua isu dikemukakan dalam kes itu, termasuklah permohonan menamakan Tun Taib sebagai defendan ketiga.

Shankar dibantu peguam Yu Ying Ying, Alvin Yong, Azlina Dahlan, dan Izan Nadiawati Mohd Tabib, manakala RHB Investment turut diwakili peguam Lesley Ling Lyn.
Next Post Previous Post