Jalan gelap, pemuda terlibat kemalangan dilanggar lagi kereta yang lalu di situ
LUNDU-- Seorang pemuda yang menunggang motosikal terdahulunya telah terlibat kemalangan di kawasan jalan gelap tanpa lampu di Kilometer 14 Jalan Lundu-Sematan maut selepas dilanggar sebuah kereta yang melalui kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Superintendan Damataries Lautin berkata, dalam kemalangan sekitar jam 9.30 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Charles Owen Jebeng, 26, beralamat di Summer View Garden Jalan Batu Kawa Tondong.
"Siasatan awal ditempat kejadian, sebuah motosikal Yamaha 135 LC yang ditunggang mangsa telah terlibat kemalangan sendiri terlebih dahulu di mana penunggang dan motosikal berada di atas jalan.
"Selang beberapa minit datang sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun yang datang dari arah Lundu ke Sematan yang memandu dijalan lurus telah melanggar motosikal dan penunggang terbabit yang masih berada di jalan raya tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, akibat itu penunggang telah maut di tempat kejadian dan disahkan pasukan paramedik yang hadir di tempat kejadian.
Tambahnya, pemandu kereta pula tidak mengalami apa-apa kecederaan.
"Keadaan jalan raya pada masa kejadian kering dan cuaca gelap tanpa lampu jalan," ujarnya.
Tegasnya, kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen (41) Akta Pengangkutan Jalan 1987.