Isu guru besar tidur dalam stor hingga pencen selesai

Cikgu George Odol berkongsi kepayahan tinggal dalam stor sehingga pencen di SK Ulu Ansuan, Telupid.

SABAH — Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menyiapkan kerja menyelenggara kuarters guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid dengan kos RM200,000, selepas isu guru besar tidur dalam stor tular di media sosial Sabtu lalu.

KPM dalam kenyataan berkata, ia adalah penyelesaian jangka pendek kediaman guru di sekolah itu sementara menunggu pembinaan empat unit kuarters baharu.

“KPM cakna mengenai video tular seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah yang tidak mempunyai kediaman dan terpaksa tinggal di sekolah. Kami memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan kesejahteraan guru, murid dan seluruh warga sekolah.

“Kerajaan semasa pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu telah meluluskan RM12.5 juta bagi melaksanakan projek penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan,” kata kenyataan itu dipetik Kosmo.

Tambahnya, kerja-kerja pembinaan melibatkan pembinaan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot sedang rancak berjalan.

KPM menambah, akses dan fasiliti di semua sekolah seluruh negara yang memerlukan akan diberi keutamaan untuk memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah terpelihara.

Pada Sabtu, seorang guru besar di SK Ulu Ansuan dikenali sebagai Cikgu George Odol mendedahkan berkongsi kisah hidupnya yang tinggal di stor sekolah 
lebih tiga tahun sejak berkhidmat di sekolah itu pada 2020.

Menurut guru tersebut, sekolah itu dibina pada 1999 namun peliknya rumah guru tidak dibina menyebabkan mereka yang ditugaskan di situ terpaksa tinggal di rumah orang-orang kampung dan kelas yang diubah suai.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah yang prihatin kemudian telah membina dua rumah ala kadar sebagai kemudahan guru yang berkhidmat di SK Ulu Ansuan itu

“Sepanjang tempoh tersebut, saya tinggal dalam stor pra sekolah berkeluasan 13.4 meter persegi dan berkongsi dapur dan bilik mandi,” katanya yang bersara wajib 
daripada perkhidmatan perguruan pada 27 November ini.

Kapsyen
Cikgu George Odol berkongsi kepayahan tinggal dalam stor sehingga pencen di SK Ulu Ansuan, Telupid.
Next Post Previous Post