Industri lada negara sedia terokai benua Eropah, Fadillah

Fadillah menunjukkan produk lada Sarawak semasa Pameran Lada Antarabangsa dan Mesyuarat IPC di Kuching hari ini.

KUCHING— Industri lada global menunjukkan penurunan selepas bertahun-tahun bergelut dengan pelbagai cabaran dengan paling ketara ialah ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketidakseimbangan ini memberikan tekanan yang ketara terhadap harga dan penanaman lada di pelbagai kawasan.

“Setakat 2022, menurut rekod Komuniti Lada Antarabangsa (IPC) menganggarkan dunia menggunakan kira-kira 213,000 tan dan ia menunjukkan sedikit penurunan dalam permintaan, berbanding dengan tahun sebelumnya yang menyaksikan penggunaan sebanyak 224,000 tan. 

“Penurunan ini sebahagian besarnya boleh dikaitkan dengan pasca pemulihan pandemik dan pelarasan permintaan,” katanya berucap merasmikan '51st Annual Session and Meetings of International Pepper Community and International Spice Exhibition (IPC ASM ISE ke-51)' di sini, hari ini.

Menurutnya, pengeluaran lada global pada tahun 2022 mencapai 537,000 tan, menurun daripada 548,000 tan yang direkodkan pada tahun 2021. 

Malaysia merupakan pengeluar kelima terbesar dengan 32,724 tan selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia seperti yang dilaporkan pada tahun 2022.


Sehingga hari ini, terdapat kira-kira 38,587 pekebun kecil lada dengan keluasan tanaman 8,091 hektar di Malaysia.

“Malaysia mengeksport lada ke Jepun, Singapura, Korea Selatan, Vietnam dan Taiwan. 

“Sehingga Ogos 2023, Malaysia mencatatkan prestasi eksport sebanyak RM96 juta dan akan terus meningkatkan usaha untuk mencari peluang pasaran baru di benua Eropah termasuk negara-negara Skandinavia,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, adalah penting bagi IPC untuk terus memantau penawaran dan permintaan lada, dengan mengambil kira pengaruh langsungnya terhadap paras
harga. 

“Negara pengeluar lada juga harus menumpukan usaha konkrit dan bersepadu untuk menguruskan bekalan, menstabilkan harga dan meningkatkan penggunaan,”katanya.

Sementara itu pameran selama lima hari itu disertai kira-kira 200 peserta dalam kalangan pemain industri komoditi lada hitam dari Indonesia, Vietnam, Malaysia, India dan Sri Lanka.
Next Post Previous Post