Hujan lebat di barat Sarawak sehingga Januari 2024

Gambar Arkib

KUCHING— Empat hingga enam kejadian hujan lebat dijangka melanda bahagian barat Sarawak bermula bulan ini hingga Januari 2024, yang berisiko menyebabkan banjir.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan itu dipengaruhi fasa awal Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh yang melanda negara ini bermula 11 November hingga Mac 2024.

“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir. 

Gambar Arkib

“Selain barat Sarawak, hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di
negeri-negeri lain di Malaysia.

Katanya, hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem. 

Muhammad Helmi menambah, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Manakala, pada fasa akhir MTL iaitu Februari hingga Mac 2024 dijangkakan utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu), Sabah, Labuan dan utara Sarawak mengalami kurang hujan. 

“Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba. 

Gambar Arkib

“Situasi ini berikutan El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun 2024,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui medium
sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia. Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.
Next Post Previous Post