Fasiliti belakan air, telekomunikasi premis kerajaan persekutuan 'usang' perlu tindakan segera

KUCHING-- Premis kerajaan persekutuan di Sarawak berdepan dengan isu fasiliti bekalan air dan telekomunikasi yang 'usang' ekoran tidak diselenggara dengan baik.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata kementeriannya sering menerima aduan bekalan air dan telekomunikasi di premis Kerajaan Persekutuan yang berpunca daripada sistem retikulasi air dalaman yang tidak diselenggara dengan baik serta liputan dan kualiti perkhidmatan telekomunkiasi yang kurang memuaskan.

"Antara isu bekalan air yang dihadapi di permis Persekutuan adalah pam dan tangki air yang tidak diselenggara serta kebocoran paip air yang berlaku. 

"Isu ini bukan sahaja telah menyebabkan masalah bekalan air di premis terbabit malah menyebabkan pembaziran air dan turut menjejaskan tekanan air dan bekalan air ke kawasan lain yang berdekatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bagi menjelaskan peranan dan tanggungjawab agensi bekalan air dan telekomunikasi berkaitan dengan penyelenggaran fasiliti tersebut di premis Kerajaan Persekutuan hari ini. 

Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh 26 agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.

Tambah Julaihi, antara aduan yang diterima adalah daripada SMK Agama, SMK Sedaya, SMK Kanowit, Kem Rascom Batu 10 dan Wisma Persekutuan di Sibu, Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL), Penjara Puncak Borneo, SMK Pedawan, SMK Lundu dan SMK Sematan di Kuching serta ICQ Mengkalap, ICQ Merapok, SMK Trusan dan Hospital Lama di Lawas.

"Berdasarkan kepada The Water Supply Regulations, 1995, agensi bekalan air di Sarawak hanya bertanggungjawab untuk membekal air dan menyelenggara fasiliti bekalan air sehingga ke meter air premis sahaja," katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sarawak juga menjalankan ujian audit rangkaian mudah alih dan tetap secara berkala di lokasi-lokasi strategik yang telah dikenal pasti sepanjang tahun termasuk di premis Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap pembekal perkhidmatan telekomunikasi mematuhi “Mandatory Standard” yang telah ditetapkan oleh MCMC.

"Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga melaksanakan projek telekomunikasi Point of Presence (PoP) yang melibatkan sebanyak 741 buah sekolah di Sarawak. 

"Projek PoP ini merupakan infrastruktur telekomunikasi yang tersedia untuk menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi untuk sekolah-sekolah di kawasan
pedalaman Sarawak," ujarnya.

Justeru, beliau berharap kemudahan infrastruktur telekomunikasi ini turut dilengkapi perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi di sekolah berkaitan bagi tujuan pendidikan dan pembelajaran di sekolah.

“Memandangkan penyelenggaraan bekalan air serta liputan dan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di premis Kerajaan Persekutuan bukan di bawah tanggungjawab
Kerajaan Sarawak, maka saya menyeru agar agensi Kerajaan Persekutuan selaku pemilik premis untuk memastikan sistem retikulasi dalaman bekalan air dan perkhidmatan telekomunikasi di premis Kerajaan Persekutuan diselenggara dan berada di tahap yang baik," tegasnya.
Next Post Previous Post