Fadillah tiba di China untuk misi perdagangan minyak sawit
Fadillah Yusof tiba di Shanghai, China, pada jam 1.55 petang waktu Malaysia dalam lawatan rasmi sulungnya ke negara itu sejak pelantikannya pada 2 Disember tahun lepas. |
SHANGHAI— Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof tiba di Shanghai, China dalam lawatan rasmi pertama ke negara itu sejak pelantikannya pada 2 Disember lalu.
Pesawat khas BD 700 (RMF 142) yang membawa menteri itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong kira-kira jam 1.55 petang waktu Malaysia.
“Alhamdulillah, selamat tiba di Shanghai untuk lawatan rasmi pertama saya sebagai Timbalan Perdana Menteri ke China.
“Ketibaan saya disambut oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dan Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Tuan Syed Farizal Aminy Syed Mohamad,” katanya dalam hantaran di Facebook petang tadi.
Fadillah berkata, semasa di Shanghai beliau akan bertemu Datuk Bandar Shanghai, Gong Zheng dan pemegang taruh serta pemimpin industri minyak sawit.
Beliau juga teruja untuk bertemu dengan rakyat Malaysia di Shanghai.
“Semoga lawatan ini akan dapat meningkatkan lagi hubungan kerjasama dua hala yang sedia terjalin di antara Malaysia dan China serta menggalakkan lebih banyak pelaburan dari China ke Malaysia,” katanya.
Lawatan bermula hari ini hingga 19 November bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta pembinaan kapasiti dalam bidang komoditi, terutamanya dalam mempromosikan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di peringkat global.
Selain Shanghai, beliau akan melawat Beijing.
Minggu lepas, Fadillah berkata China ialah pasaran eksport minyak sawit kedua terbesar Malaysia selepas India.
Nilai eksport produk berasaskan sawit ke China pada 2022 adalah RM16.41 bilion, manakala nilai eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu pada tahun yang sama sebanyak RM8.44 bilion.
Di samping itu, China adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas.
Tambahnya, lawatan yang diadakan sebagai susulan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu September lalu bertujuan mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-China.
Tahun ini kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif diikuti ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2024.