Drama Matu-Daro: Cubaan plot twist bakal pengantin wanita tidak menjadi
KUCHING-- "Drama Matu-Daro" yang mengisahkan impian seorang pemuda untuk berkahwin tidak kesampaian belum selesai apabila ada cubaan plot twist daripada pihak pengantin wanita akhirnya memakan diri sendiri.
Mana tidaknya cubaan pihak wanita menafikan perkara itu dengan mendakwa kisah tersebut berlaku 8 tahun lalu mendapat perhatian netizen yang gigih mencari fakta sebenar kisah berkenaan yang menjadi pendayung episode seterusnya.
“Plot twist! Laki ya yang psiko. Berdasarkan sumber, kisah berlaku kira-kira lapan tahun lalu. Perempuan tak layan sebab perangainya ‘pemanas’ dan pelik.
“Kemudian tiba-tiba sekarang perempuan tu dah bahagia berkahwin ada dua anak, dia timbulkan cerita sebab mungkin masih belum move on dan cemburu.
“Kisah lama, jadi mungkin bila perempuan dah bahagia apa semua, dia trigger untuk reka cerita yang pelik-pelik,” katanya.
Cubaan plot twist itu bagaimanapun tidak menjadi apabila pemilik Homestay yang menyediakan tempat tinggal pemuda terbabit turut tampil memperjelaskan perkara sebenar dan mengatakan kisah yang dikongsikan oleh bakal pengantin lelaki itu adalah benar.
Malah, pemilik homestay terbabit sedia menunjukkan bukti seperti rakaman kamera litar tertutup di penginapan tersebut.
Pada masa sama adik wanita kepada pengantin lelaki turut tampil menafikan perkara tersebut.
"Plot Twist? Cerita 8 tahun lepas? Ini bukti setiap gambar (gambar lelaki dan wanita bersama setiap temu janji) ada tarikh. Lapan tahun lepas ada COVID-19? Abang aku lapan tahun lepas umur 20 tahun kalau ada akal yang waras boleh berfikir mana betul mana salah," tegas adiknya dalam hantaran Facebooknya.
Susulan itu, hantaran yang dibuat oleh seorang pengguna wanita yang mendakwa lelaki itu seorang psiko telah pun dipadamkan.
Sementara itu, satu lagi hantaran dipercayai daripada kakak ipar kepada bakal pengantin lelaki turut menafikan dakwaan yang dilemparkan.
“Ini bukti hantaran, saya yang gubah untuk majlis akad nikah dia. Tak kan benda ni lapan tahun lepas orang cakap. Senang je, lihat laporan polis tu tarikhnya bila.
“Tak perlu buang masa pergi jauh sekadar nak buang masa. Bayangkan Kuching ke Daro tu berapa jauh, orang Sarawak je tahu,” katanya lagi.
Terdahulu, tular mengenai seorang lelaki mendakwa dia sepatutnya melangsungkan majlis akad nikah bersama seorang wanita yang didakwa bertugas dalam pasukan badan beruniform, pada 10 November (Jumaat) dan majlis persandingan pada 11 November (Sabtu) di rumah pengantin perempuan di Matu, Mukah.
Dia mendakwa telah menyerahkan wang hantaran berjumlah RM8,000 kepada pihak perempuan sebelum majlis
berlangsung.
Pada hari yang sepatutnya berlangsung akad nikah, katanya, dia bersama rombongan seramai 22 orang yang membawa barang hantaran berkunjung ke rumah bakal pengantin perempuan tetapi hairan kerana tiada tanda-tanda ada majlis dibuat sebaik tiba di lokasi.
“Alamat betul, tapi rumah tak ada orang. Memang dah agak ada sesuatu yang tak kena. Kami putuskan untuk pergi ke rumah jiran sebelah dan rupanya tuan rumah sebelah tu adalah ibu saudara si pengantin perempuan.
“Kami beritahu tujuan datang dan tanya pasal pengantin perempuan. Kami bertambah geram dan terkejut apabila diberitahu nama sebenar dia lain. Lagi parah perempuan tu sudah berkahwin dan ada dua anak,” katanya.
Susulan itu, lelaki itu bersama keluarga membuat laporan polis berhubung penipuan tersebut yang mengakibat kerugian berjumlah kira-kira RM30,000 di Balai Polis Daro pada 10 November lepas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili mengesahkan laporan tersebut dan bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana masih dalam siasatan.