Diaspora Malaysia di Shanghai perlu jadi penghubung sesama rakyat, Fadillah

SHANGHAI— Diaspora Malaysia di Shanghai boleh bertindak sebagai jambatan menghubungkan rakyat kepada rakyat dengan membantu meningkatkan pemahaman dalam aspek silang budaya dan fabrik sosial antara masyarakat di seluruh dunia, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, terdapat pelbagai cara untuk diaspora memanfaatkan bakat mereka biarpun dari luar negara. 

“Saya difahamkan ada ramai rakyat Malaysia bermastautin di China yang telah lama menyumbang kepada hubungan mesra antara kedua-dua negara.

“Saya turut dimaklumkan rakyat Malaysia di sini, individu dan secara berkumpulan sama-sama memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada konsulat dan antara satu sama lain ketika pandemik (COVID-19) di Shanghai, selain mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.”

Fadillah berkata demikian dalam hantaran di Facebook malam tadi semasa Majlis Ramah Mesra dengan diaspora Malaysia di sini.

Beliau memaklumkan usaha kerajaan dalam meningkatkan pembangunan ekonomi Malaysia dengan memperkenalkan beberapa dasar antaranya Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi memacu ekonomi negara. 

Fadillah turut berkongsi dengan diaspora Malaysia bahawa Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 memberi keutamaan dan penekanan terhadap dasar yang mengambil kira tadbir urus dan akauntabiliti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada majlis makan malam dengan diaspora Malaysia di Shanghai malam tadi.

“Gembira dapat berjumpa, menyantuni dan mengadakan sesi dialog bersama 160 diaspora Malaysia di Shanghai, sudah menjadi rutin biasa saya setiap kali ke luar negara. 

“Pastinya saya turut berbangga dengan pencapaian anak-anak Malaysia di mana pun mereka berada, mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.

“Dari bidang akademik ke teknologi, hiburan ke sukan dan melangkaui banyak lagi, begitu banyak kisah kejayaan anak Malaysia dalam pelbagai bidang di luar negara ada yang memang diketahui umum, ada juga secara senyap, membina kejayaan cemerlang menerusi kepakaran,” kata Fadillah.
Next Post Previous Post