Cuti Gawai: KPM Harus Lihat Semula Kalendar Akademik 2024

"Ramai pelajar kita dari kawasan luar bandar memerlukan masa untuk pergi dan balik ke kampung halaman semasa Gawai Dayak" - Datuk Roland Sagah Wee Inn

SIBURAN--Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus terbuka untuk melihat semula kalendar akademik tahun 2024/2025 terutamanya berkaitan cuti perayaan Hari Gawai. 

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, beliau maklum mengenai kebimbangan yang dibangkit oleh beberapa pihak yang meminta waktu cuti untuk pergerakan perjalanan pulang ke kampung halaman. 

“Ramai pelajar kita dari kawasan luar bandar yang memerlukan masa untuk pergi dan balik ke kampung halaman semasa cuti perayaan itu nanti.  

“Tetapi jika tidak silap, pada 3 Jun (Isnin) adalah Hari Jadi Agong cuti umum walaupun tidak dijadualkan sebagai cuti sekolah tetapi mungkin KPM juga melakukan kesilapan di situ dan tidak ada salahnya untuk membangkitkan isu ini,”katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dibangkit oleh Wali Kota Majlis Daerah Kapit (MDK) Lating Minggan di sini pada Isnin, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak.

Sabtu lepas, Lating Minggan telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai Kalendar Akademik Sekolah sesi 2024/2025 yang dikeluarkan pada Jumaat kerana mengabaikan kepentingan Gawai kepada masyarakat Dayak.

Katanya, KPM telah mengulangi kesilapan sejak 2021 kerana tidak memasukkan Gawai Dayak dalam cuti sekolahnya. 

Beliau berkata memandangkan hari kedua Gawai Dayak 2024 jatuh pada hari Ahad, Isnin 3 Jun akan menjadi cuti umum di negeri ini. 

Bagaimanapun, kalendar akademik menunjukkan bahawa cuti semester persekolahan akan bermula pada 25 Mei hingga 2 Jun.
Next Post Previous Post