Curi barang dalam kereta, 4 ditangkap termasuk kanak-kanak 11 tahun

KAPIT-- Empat lelaki ditangkap termasuk kanak-kanak 11 tahun selepas disyaki terlibat kes curi dalam kenderaan di pekan Kapit.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Rohana Nanu berkata, kesemua suspek warga tempatan yang berumur antara 11 tahun hingga 21 tahun berjaya ditangkap susulan laporan polis dibuat mangsa pada Ahad lepas.

"Selain tangkapan polis turut merampas barang-barang yang telah dicuri bernilai RM8,500," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pada Ahad seorang lelaki warga tempat tampil ke Balai Polis Kapit sekitar jam 12.15 tengah malam dan membuat laporan polis mengenai kes kecurian di dalam kenderaan beliau yang diletak di sekitar kawasan pekan Kapit.

Berikutan itu, tegasnya kertas siasatan telah dibuka.

Tambahnya, kesemua suspek ditangkap kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara 7 tahun dan boleh dikenakan hukuman denda. 

"PDRM Kapit sentiasa komited di dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di daerah ini demi menjamin keharmonian dan keamanan masyarakat," ujarnya.
Next Post Previous Post