Chong pertikai kematian "overdose" diklasifikasi mati mengejut
KUALA LUMPUR—Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlalu cepat mengklasifikasikan sesuatu kes kematian akibat "overdose" barang terlarang sebagai mati mengejut.
Tegas Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu, terdapat dua kes di Kuching yang mana PDRM mengklasifikasikan kes kematian terbabit sebagai mati mengejut meskipun mengetahui ia disebabkan pengambilan barang terlarang berlebihan.
"Polis seharusnya menjalankan satu ujian yang lebih terperinci supaya kita boleh dapatkan satu statistik yang betul iaitu statistik yang menggambarkan situasi yang sebenar
"Mungkin lebih kematian disebabkan oleh 'overdose' penyalahgunaan dadah, tetapi semua diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut.
"Oleh itu, saya menyeru satu kajian dibuat," katanya pada sesi perbahasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa sama Chong memberi contoh kes kematian seorang pelajar perempuan, 22, di Kuching yang kematiannya diragukan namun diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Umum Sarawak mendapati punca kematian mangsa adalah pending laboratory analysis.
"Pihak PDRM masih meneruskan siasatan bagi mengumpul bukti-bukti menunggu laporan Jabatan Kimia.
"Itulah adalah jawapan yang diberi oleh Menteri untuk menjawab apa yang saya bangkitkan dalam pembahasan saya.
"Selepas apa yang saya sebut dalam perbahasan saya, yang dikeluarkan satu kenyataan oleh pihak polis adalah bahawa pasukan siasatan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci dari semua aspek serta kemungkinan.
"Pada mulanya, kematian remaja itu terus diklasifikasikan oleh polis sebagai mati mengejut.
"Selepas apa yang dibangkitkan dalam dewan ini, pihak polis Kuching menubuhkan satu pasukan siasatan khas, apa yang disebutkan oleh Menteri adalah menunggu laporan bedah siasat, laporan makmal dan juga mencari lagi apa-apa bukti," katanya.
Namun, kata Chong, beliau diberitahu ahli keluarga mangsa bahawa sehingga 10 hari kes itu tidak ada seorang ahli keluarga mangsa dijumpa untuk diambil keterangan berkenaan kematian mangsa.
"Saya ingin tahu apakah telah dilakukan. Adakah pasukan khas yang ditubuhkan itu telah jumpa siapa saksi-saksi, ada merakamkan, ambil rakaman CCTV di hospital di mana si mati itu dihantar ke atau CCTV di pusat hiburan yang di mana beliau dijumpai mati.
"Dan inilah masalahnya, kerana apa yang dikhuatiri oleh keluarga si mati adalah individu terakhir bersama mangsa yang juga merupakan bekas kekasih mangsa.
"Adakah PDRM telah menjemput bekas kekasih mangsa untuk diambil keterangan? Saya juga nak tahu pasukan siasatan khas ini siapakah anggotanya, sama ada anggotanya juga ada pegawai-pegawai dari Bukit Aman atau hanya pegawai-pegawai di polis daerah Kuching," tegasnya.
Tambah beliau keadaan itu menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap penyiasatan yang dijalankan oleh pihak PDRM.
"Kerana sampai hari ini, tiga minggu sudah pasukan ini ditubuhkan tetapi langsung tak ada pegawai yang telefon keluarga si mati untuk mengambil keterangan yang lebih terperinci mengenai kejadian kematian itu.
"Apa yang sudah terjadi? saya harap dalam penggulungan Yang Berhormat Timbalan Menteri Dalam Negeri akan memberi maklum balas terkini kes ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Chong turut memberi satu lagi contoh kes kematian seorang pemuda berusia 23 tahun juga diklasifikasikan sebagai mati mengejut yang disebabkan pengambilan barang terlarang berlebihan.
"Mengikut apa yang diberitahu oleh ibu bapa mangsa, mangsa memang seorang penagih dadah dan mereka percaya bahawa sememangnya akibat pengambilan berlebihan.
"Namun, oleh kerana tiada ujian air kencing dilakukan dan mayat mangsa telah dikebumikan, kes tersebut dianggap sudah ditutup.
"Bagaimanapun, hasil bedah siasat mendapati kematian pemuda ini disebabkan kegagalan jantung dan buah pinggang.
"Apa yang menjadi persoalannya adalah kenapa seorang pemuda berusia 23 tahun sudah menghidapi kegagalan jantung dan buah pinggang untuk berfungsi?
"Ini memang merupakan satu soalan yang kita perlu persoalkan dan adakah kerana 'overdose of usage of drugs' yang menyebabkan jantung dan buah pinggang gagal berfungsi?" katanya.