Chong minta BSN, bank lain wujudkan cawangan di Batu 10

KUCHING-- Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen mencadangkan agar sebuah bank seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) diwujudkan di Bazaar Batu 10 di sini.

Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak itu berkata, ia susulan permintaan ramai penduduk di kawasan tersebut.

"Saya menerima banyak permintaan berhubung perkara ini terutamanya daripada sektor perniagaan dan penduduk setempat untuk mewujudkan sebuah bank di Bazaar Batu 10 seperti BSN atau bank lain.

"Untuk pengetahuan, setakat ini tiada satu pun bank beroperasi di Bazaar Batu 10," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Chong menyerahkan sepucuk surat permohonan kepada Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong bagi memohon untuk menubuhkan sebuah bank di lokasi tersebut.

Jelas beliau lagi, Bazaar Batu 10 merupakan kawasan yang pesat membangun yang turut terletaknya pejabat Majlis Perbandaran Padawan, dikelilingi kira-kira 300 rumah kedai.

Selain itu katanya terdapat juga sebuah sekolah di kawasan tersebut dengan pelajar lebih 1,500 orang

"Dahulu ada sebuah bank BSN di Bazaar Batu 10 tetapi sudah tutup. Sejak itu peniaga, penjaja dan penduduk mengalami kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan," katanya.

Meskipun terdapat bank di kawasan Batu 7 yang dilihat kawasan paling dekat dengan Batu 10 namun kata Chong, keadaan kesesakan di laluan di situ menyukarkan penduduk.

Selain itu, beliau memberitahu, kekurangan tempat parkir kereta di Batu 7 juga menyebabkan kesulitan penduduk.

"Saya sangat percaya Bazaar Batu 10 ini pesat membangun dan memberi manfaat kepada pihak perbankan sekiranya diwujudkan di sini.

"Saya juga berharap BSN atau bank lain juga melihat kepada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk penduduk di situ," ujarnya.
Next Post Previous Post