China beralih kepada produk minyak sawit halal, Fadillah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (dua kiri) melawat Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Kelapa Sawit, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PORTSIM) China di Shanghai. Gambar FB Fadillah Yusof

SHANGHAI—Syarikat China yang sebelum ini menggunakan bahan mentah lain untuk produk mereka kini beralih kepada minyak sawit yang halal dan lebih sesuai untuk pasaran Islam global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pilihan import China kini semakin berkembang dengan permintaan semakin meningkat terutama untuk lemak khusus berasaskan sawit.  

“Justeru Malaysia melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan produk nilai tambah berasaskan minyak sawit bagi syarikat di China untuk mengeksport ke wilayah Islam dalam negara,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat di Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Kelapa Sawit, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PORTSIM) China, pada Isnin.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata sehingga kini, beberapa produk sedang dikomersialkan di China, hasil daripada Portsim.

Portsim, mercu tanda kecemerlangan penyelidikan, bukan sahaja berfungsi sebagai pusat penyelidikan tetapi meluaskan kepakarannya dengan memberikan nasihat teknikal yang penting dalam memberikan sokongan kepada industri, khususnya dalam pengeluaran produk akhir. 

Katanya, penekanan ini terletak pada penyelidikan canggih mengenai produk berasaskan sawit, mengukuhkan peranannya sebagai kuasa perintis dalam industri.

“Lawatan ke Pusat Aplikasi Portsim, memberi saya gambaran secara langsung tentang proses pengeluaran produk makanan berasaskan sawit termasuk Butterfly Cracker, Aiskrim berasaskan sawit Merah dan br(EAD) lembut yang juga berasaskan sawit Merah.

“Setakat ini, kita amat berpuas hati dengan apa yang telah dihasilkan dan Portsim juga sedang meneliti produk kesihatan berasaskan tanaman serba boleh, tokotrienol,” katanya.

Beliau menambah, delegasi akan bertemu dengan menteri pertanian di China untuk pengiktirafan dari segi standard pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dengan produk pertanian mereka.

“Pilihan import China kini semakin berkembang, dimana permintaan semakin meningkat terutama untuk lemak khusus berasaskan sawit. Ini memberi penekanan kepada peningkatan signifikan terhadap perkhidmatan dan teknologi lemak. Pasaran Minyak Sayuran Terhidrogenasi (HVO) dan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF l) di China kini berkembang pesat,” katanya.

Fadillah menambah, lawatan itu merupakan merupakan penerokaan strategik, membuka jalan kepada penglibatan dinamik dalam industri minyak sawit China yang semakin berkembang. 

“Saya berharap inisiatif sebegini dapat diperkasakan bagi pertumbuhan dan peningkatan pasaran, dimana gabungan tradisi dan teknologi akan membuka lebih banyak peluang yang berpanjangan,” katanya.

Lawatan bermula semalam hingga 19 November bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta pembinaan kapasiti dalam bidang komoditi, terutamanya dalam mempromosikan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di peringkat global.

Minggu lepas, Fadillah berkata China ialah pasaran eksport minyak sawit kedua terbesar Malaysia selepas India.

Nilai eksport produk berasaskan sawit ke China pada 2022 adalah RM16.41 bilion, manakala nilai eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu pada tahun yang sama sebanyak RM8.44 bilion.

Di samping itu, China adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas.
Next Post Previous Post