Belanjawan Negeri 2024: Sarawak bentang RM12.363 bilion, RM4.563 bilion perbelanjaan mengurus, RM7.8 bilion untuk pembangunan

Premier Sarawak semasa membentangkan Belanjawan Sarawak 2024. Gambar ihsan UKAS

KUCHING-- Sarawak memperuntukkan RM12.363 bilion dalam Belanjawan Negeri 2024 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 hari ini berkata, daripada jumlah itu RM4.563 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM7.8 bilion adalah untuk peruntukan kepada Akaun Kumpulan Wang Pembangunan bagi membiayai pelbagai program dan projek pembangunan.

"Sukacita dimaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa dengan unjuran hasil sebanyak RM12.749 bilion dan jumlah perbelanjaan sebanyak RM12.363 bilion, Belanjawan Negeri 2024 dijangka menjana lebihan sebanyak RM386 juta. 

"Ini adalah Belanjawan terbesar yang pernah diumumkan oleh Kerajaan Sarawak dalam sejarah, satu bukti kejayaan usaha merekayasa semula hasil negeri dan pengurusan kewangan yang berhemat. 

"Dengan ini, kami mengguna pakai Belanjawan pengembangan yang melabur banyak dalam infrastruktur dan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai teras utamanya," katanya.

Tambahnya, Belanjawan Negeri 2024 akan terus menjadi Bajet mengembang (dasar fiskal mengembang) untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi Negeri.

Premier Sarawak tiba di perkarangan DUN Sarawak untuk membentangkan Belanjawan Sarawak 2024. Gambar ihsan UKAS

Katanya, bajet ini mencadangkan untuk meningkatkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan daripada RM11,503 juta pada 2023 kepada RM13,601 juta pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak RM2,098 juta atau 18 peratus.

"Secara ringkasnya, Bajet 2024 dirangka merentasi 12 Teras Strategik seperti berikut: Pertama- Mempercepatkan Pertumbuhan Ekonomi; Kedua-Merangsang Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar; Ketiga-Menggalakkan Pelaburan, Keusahawanan dan PKS; Keempat-Mentransformasikan Sarawak menjadi Ekonomi Berdaya Saing dan Berdaya Tahan; Kelima- Memperkukuh Modal Insan dan Pembangunan Bakat.

"Keenam - Mempergiatkan Transformasi Digital; Ketujuh - Menggalakkan Kelestarian Alam Sekitar; Kelapan - Memperkukuh Kebajikan Masyarakat dan Jaringan Keselamatan; Kesembilan - Mempromosikan Sukan dan Pemerkasaan Belia; Kesepuluh - Membangunkan Ekonomi Berasaskan Inovasi dan Berorientasikan Pengetahuan; Kesebelas- Membanteras Kemiskinan dan Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat dan Kedua Belas - Meningkatkan Kapasiti Kerajaan dan Penyampaian Perkhidmatan," ujarnya.

Mengulas lanjut tentang Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM4.563 bilion, Abang Johari berkata, RM1.067 bilion atau 24 peratus untuk emolumen kakitangan; RM1.761 bilion atau 39 peratus untuk bekalan dan perkhidmatan.

"RM1.524 bilion atau 33 peratus untuk geran dan bayaran tetap, termasuk geran operasi kepada Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, pembayaran hutang awam dan pembayaran ganjaran, pencen, dan biasiswa, termasuk bantuan kewangan dan kebajikan; RM107 juta untuk perolehan aset; dan RM104 juta untuk perbelanjaan mengurus lain," jelasnya.
Next Post Previous Post