Belanjawan Negeri 2024: RM662 juta diperuntuk untuk bina jalan dan jambatan

Jambatan Marudi, merentangi Sungai Baram, antara projek dibiayai kerajaan Sarawak dan sedang giat dilaksanakan.

KUCHING-- Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM662 juta bagi pelaksaan projek jambatan dan jalan di negeri ini pada tahun hadapan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek pembangunan jalan dan jambatan sentiasa menjadi keutamaan yang ditekankan kerajaan Sarawak.

"Di bawah Belanjawan Negeri Sarawak 2024, sejumlah RM662 juta diperuntukkan untuk melaksnakan beberapa projek jalan dan jambatan di negeri ini," katanya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Antara projek-projek itu kata Abang Johari, Reka Bentuk dan Pembinaan Jalan Lingkaran Dalam di Kuching; Jalan Pakan/Ulu Kota, Pakan, Sarikei (Fasa III).

Selain itu, jelasnya projek Penggantian Tujuh Jambatan Sementara Di Bawah Fasa 1 kepada Jambatan RC Kekal; Jalan Sungai (Sg) Bidut/Kpg Tutus/ Kpg Sebedil/ Kpg Bungan Kecil, Sibu; Jambatan Marudi Atas Batang Baram, Miri; Sg. Jambatan Limbang, Sg. Jambatan Bunut No.2 dan jalan penghubung, Limbang dan pelbagai projek jalan dan jambatan di bawah Projek Rakyat.

Di bawah inisiatif Kumpulan Wang Disatukan, Abang Johari memberitahu, antara inisiatif pemangkin yang sedang dijalankan ialah pembinaan Rangkaian Jalan Pesisir dan projek Jalan Utama Kedua dengan anggaran kos keseluruhan RM11 bilion. 

"Pada masa ini, projek-projek itu berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan," jelasnya.

Tegas beliau di bawah Belanjawan Negeri 2024, penekanan akan terus diberikan kepada penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan asas, untuk menambah baik ketersambungan dan kebolehcapaian luar bandar yang akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di kawasan tersebut. 

"Lebih banyak jalan raya, jambatan, pelabuhan, bekalan air dan elektrik serta pengangkutan udara yang akan disediakan, mewujudkan kerancakan ekonomi di kawasan sekitar, meningkatkan kebolehdiaman dan mobiliti masyarakat tempatan, mencergaskan perniagaan, dan mewujudkan peluang pekerjaan," ujarnya.
Next Post Previous Post