BBP Asajaya Dirasmikan, Bakal Beri Manfaat Penduduk Setempat

Nga Kor Ming (Tengah) menyempurnakan simbolik perasmian BBP Asajaya.

ASAJAYA -- Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya merupakan satu detik bersejarah yang amat dinantikan oleh penduduk setempat.

Ini selepas Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia merangkap Ahli Palimen Kota Samarahan, Rubiah Wang membuat permohonan untuk pembinaan BBP Asajaya pada tahun 2017.  

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, di bawah pelan pusingan keempat Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan juga telah meluluskan sebanyak RM267.6 juta di bawah Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di mana merangkumi 17 projek baharu dan 47 projek sambungan seluruh Malaysia.  

Nga Kor Ming melawat ke tapak pameran JBPM

Menurutnya, bagi tahun 2024, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM53.8 juta bagi projek baharu fizikal binaan yang merangkumi pembinaan baharu, naik taraf dan penyelenggaraan fasiliti kebombaan termasuk balai dan kuarters.  
 
“Selain itu, peruntukan sebanyak RM64.8 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan projek baharu fizikal kelengkapan JBPM bagi tahun 2024 bagi perolehan baharu dan penyelenggaraan jentera serta kenderaan bomba iaitu refurbish 30 unit Fire Rescue Tender (FRT), penggantian 10 unit bas bomba, penyelenggaraan helikopter dan Aircraft Refuellent dan penyelenggaraan kenderaan bomba,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian BBP Asajaya di sini pada Isnin. 

Nga Kor Ming (Tengah) bersama tetamu kehormat yang lain.

BBP Asajaya berkeluasan 2.22 ekar dengan kos pembinaan sebanyak RM9.1 juta merupakan balai Kategori D yang dilengkapi dengan ruang jentera, pejabat pentadbiran, stor logistik, bilik solat, 1 unit kuarters kelas E, 3 unit kuarters kelas F, tempat letak kenderaan, padang kawad serta kemudahan-kemudahan lain termasuk 1 unit Light Fire Rescue Tender, sebuah kenderaan utiliti dan sebuah bot penyelamat beserta enjin.  
 
Antara KMKK yang hadir Majlis Perasmian BBP Asajaya

Difahamkan, pengoperasian BBP Asajaya ini bakal memberi sokongan kepada balai-balai bomba dan penyelamat berhampiran iaitu BBP Samarahan dan BBP Simunjan. 

Pembinaan balai ini pastinya memberikan kelegaan kepada penduduk selain memberikan akses kepada perkhidmatan kebombaan bukan sahaja lebih mudah malah lebih cepat, cekap dan berkesan.  

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Dan Persekitaran MAMPAN), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk Saidatu Hassan, Ketua Pengarah JBPM Malaysia, Dato' Sri Abdul Wahab Mat Yasin dan Pemangku Residen Bahagian Samarahan, Anuar Da'an.-EDISI UKAS

Kredit Teks dan Gambar UKAS
Next Post Previous Post