Bantuan barangan 20 tan dihantar ke Palestin

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bergambar bersama Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali pada Majlis Pelepasan Penghantaran Bantuan Kemanusiaan Ops Ihsan ke Gaza Palestin di Terminal Kargo KLIA, malam tadi.

SEPANG— Penghantaran bantuan kemanusiaan kedua dari rakyat Malaysia untuk rakyat Palestin selamat berlepas pada jam 10.50 malam tadi.

Pesawat berkenaan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir dari Terminal Kargo, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan penerbangan pesawat kargo khas melalui Ops Ihsan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, barangan bantuan kemanusiaan ini akan diserahkan kepada Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama bagi membawa masuk barangan itu ke Gaza melalui sempadan Rafah. 

“Penghantaran kedua melibatkan sebanyak 20 tan barangan keperluan makanan, perubatan, pakaian dan keperluan bayi. 

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih Kedutaan Palestin dan Mesir yang banyak membantu memudahkan penghantaran bantuan ini.

“Begitu juga penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada rakyat Malaysia yang banyak membantu memberi sumbangan kepada misi kemanusiaan ini.

“Inilah kelebihan rakyat kita di Malaysia apabila berlaku bencana bukan sahaja membabitkan dalam negara tetapi di luar negara, mereka sentiasa menunjukkan semangat keprihatinan dan kesukarelawanan untuk memberi bantuan dan menunjukkan rasa simpati. Terima kasih semua,” katanya dalam hantaran di Facebook selepas menyaksikan proses penghantaran bantuan itu malam tadi.

Penghantaran bantuan kali kedua pada Jumaat malam adalah baki daripada 50 tan yang telah dikumpulkan rakyat Malaysia. Bantuan kali pertama ke Gaza dari Malaysia adalah pada 3 November lepas.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata Malaysia bersedia untuk menghantar lebih banyak sarung tangan getah untuk kegunaan pasukan perubatan di Semenanjung Gaza.

“Sarung tangan getah merupakan antara keperluan mendesak di Semenanjung Gaza ketika ini. Kita mendapat maklumat bahawa sarung getah amat diperlukan di sana dan kita masih menanti pengesahan jumlah sebenar yang diperlukan mereka," 

“Setakat ini yang diserahkan kepada Kementerian Luar Negeri (KLN) adalah sumbangan daripada Majlis Getah Malaysia, sebanyak 100,000 sarung tangan,” katanya dipetik SInar Harian.

Beliau menambah, Kementerian Perladangan dan Komoditi sudah berhubung dengan syarikat pengeluar sarung tangan getah dan kalau diperlukan lagi mereka bersedia untuk menyediakan sumbangan itu.
Next Post Previous Post