Anak Sarawak diumpan gaji mata wang USD

KUCHING—Seramai 51 orang rakyat Sarawak terkandas di Myanmar akibat sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan yang tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri (gambar) berkata, polis menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa di seluruh Sarawak.

“Kita terima laporan di Sibu, Miri dan Kuching daripada ahli keluarga yang mana mereka telah dihubungi oleh anak, saudara mara ataupun mangsa bahawa mereka telah terkandas di Myanmar.

“Laporan berkenaan dengan kes tersebut diterima daripada ahli keluarga mangsa sendiri yang berada di Malaysia,” katanya memetik TVS.

Katanya, Polis Sarawak telah bekerjasama dengan Bukit Aman dalam mengendalikan kes tersebut.

Mohd Azman berkata, mangsa menghubungi ahli keluarga masing-masing untuk memaklumkan bahawa mereka telah terkandas di Myanmar selepas mendapati janji tawaran pekerjaan itu tidak wujud.

“Ramai yang terpedaya dengan tawaran bekerja di pusat kasino dan hotel yang menjanjikan gaji lumayan dalam bentuk mata wang USD.

“Namun, apabila sampai di sana mereka dapati benda itu tidak berlaku seperti yang dijanjikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Astaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, pada Khamis.

Untuk rekod, pada 29 September lalu, seramai 30 orang mangsa telah selamat dibawa pulang ke Malaysia.
Next Post Previous Post