TPM Fadillah ketuai delegasi ke China Ahad ini


KUCHING—Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke China pada Ahad ini dalam usaha meningkatkan hubungan perdagangan kedua-dua negara terutama minyak sawit.

Fadillah berkata, China merupakan antara pengimport terbesar produk minyak sawit negara dan lawatannya itu diharapkan akan meningkatkan lagi nilai eksport komoditi berkenaan ke negara tersebut.

"Misi utama lawatan saya adalah berkaitan dengan komoditi kita iaitu perdagangan antara Malaysia dan China, khususnya untuk meningkatkan lagi nilai eksport minyak sawit ke negara itu.

“Ini didorong eksport minyak sawit ke China yang menunjukkan peningkatan yang konsisten. 

“Hasil memorandum persefahaman yang dimeterai syarikat perladangan negara, Sime Darby dengan sebuah syarikat China juga mengukuhkan lagi keyakinan untuk meningkatkan nilai eksport ke negara itu selepas mencatat sebanyak RM14.86 bilion tahun lalu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian selepas merasmikan pelancaran The 51st Annual Session and Meetings of International Pepper Community and International Spice Exhibition (IPC ASM ISE ke-51) di sini pada Selasa.

Tambahnya, lawatan yang diadakan sebagai susulan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu September lalu bertujuan mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-China.

"Di samping misi perdagangan, kita juga membawa misi mengeratkan lagi hubungan Malaysia dan China kerana kita akan meraikan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala tahun hadapan," katanya.
Next Post Previous Post