681 sekolah di Sarawak bakal nikmati Internet berkelajuan tinggi

KUCHING-- Sebanyak 681 sekolah di Sarawak bakal menikmati kemudahan Internet berkelajuan tinggi menerusi projek hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) Fasa 2 yang sedang giat dilaksanakan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, projek itu dibiayai kerajaan persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)melibatkan peruntukan lebih RM1 bilion.

"Untuk pengetahuan semua, ada satu projek yang penting sedang giat dilaksanakan di Sarawak yang dibiayai kerajaan persekutuan menerusi MCMC melibatkan peruntukan lebih RM1 bilion.

"Projek ini akan menghubungkan 681 sekolah di seluruh Sarawak dengan kemudahan Internet melalui hab rangkaian gentian optik PoP.

"Projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada sekolah tetapi juga penduduk di sekitarnya yang dihubungkan dengan capaian jalur lebar apabila ia siap kelak," katanya menerusi satu klip video ringkas di Facebooknya hari ini.


Mengulas lanjut, Dr Sim berkata, Sarawak bertuah kerana memiliki dua kemudahan rangkaian Internet pantas iaitu gentian optik dan 5G yang mana projek melibatkan dua kemudahan itu sedang giat dilaksanakan di negeri ini.

"Untuk maklumat rangkaian gentian optik adalah lebih pantas daripada 5G dan kita di Sarawak amat bertuah kerana memiliki kedua-duanya kerana projek rangkaian gentian optik sedang giat dijalankan termasuk juga rangkaian 5G," jelasnya.

Lebih menarik, katanya, projek hab rangkaian gentian optik PoP itu dilaksanakan oleh syarikat anak Sarawak sendiri iaitu hab rangkaian gentian optik PoP.

Tambahnya lagi, di bawah projek ini juga syarikat menyediakan program PROTEGE yang mana syarikat perlu memberi peluang pekerjaan kepada 425 graduan universiti di Sarawak dalam tempoh sekarang hingga 2025.

Difahamkan projek hab rangkaian gentian optik PoP yang dibina di Sarawak dalam masa tiga tahun.

Pihak syarikat juga akan menawarkan pakej internet istimewa bagi yang melanggan melalui projek PoP ini dengan harga serendah RM45 sebulan.

Secara keseluruhan, sebanyak 4,323 PoP telah dirancang untuk dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di lokasi berhampiran sekolah luar bandar termasuk 47 di kawasan industri.

Sekurang-kurangnya 432,300 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek ini siap menjelang akhir RMK12 iaitu pada 2025.
Next Post Previous Post