54 kawasan berisiko banjir di Lawas

Awang Tengah (dua kiri) meninjau persiapan dan kesiapsiagaan bagi berdepan musim banjir di Lawas. Gambar ihsan Jiwa Bakti
 
LAWAS— Sebanyak 54 kawasan rendah di daerah ini sehingga Ba’Kelalan dikenal pasti berisiko berlakunya banjir pada musim tengkujuh, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata, berdasarkan rekod bencana tahun lalu, daerah Merapok di Kampung Paterikan, Bangkatan dan sekitarnya berisiko dilanda banjir besar jika limpahan air dari daerah Sindumin dan Sipitang mengalir ke Sungai Merapok.

Beliau berkata, kawasan yang berada di bawah paras laut iaitu Sundar dijangka menerima impak serius jika berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan lebat berterusan pada musim tengkujuh

“Oleh itu kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lawas (JPBD) untuk menambah aset bantuan bencana seperti beberapa unit pam air terapung dan bot-bot getah yang akan diselaras Balai Bomba dan Penyelamat Lawas.
 
“Bagi memastikan semua pihak dapat bertindak dengan pantas dan mampu menyelamatkan mereka yang terjejas, jawatankuasa bencana perlu memantau dan berkomunikasi dengan ketua masyarakat di seluruh daerah Lawas,” katanya dipetik Jiwa Bakti, semasa mesyuarat kesiapsiagaan Monsun Timur Laut bagi daerah Lawas, pada Isnin.
 
Awang Tengah turut mencadangkan Bomba membuat pemetaan lebih jelas bagi kawasan dan kampung yang mudah dilanda banjir untuk rujukan bersama agensi berkaitan.

Beliau dalam pada itu menggesa semua pangkalan hadapan agar siap siaga menyediakan keperluan bekalan makanan untuk mangsa banjir.
 
Katanya, bekalan makanan untuk mangsa bencana banjir mesti mencukupi dan paling penting ialah semua makanan yang dibekalkan tidak lupus tarikh luputnya. 
 
"Kita minta Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) yang merupakan pangkalan hadapan untuk bekalan makanan dan keperluan lain memastikan segala keperluan mencukupi.
 
“Paling penting ialah agihan bekalan mesti efisien dipermudahkan dan tidak mahu mendengar aduan yang bekalan makanan yang disediakan itu tamat tarikh luputnya,” katanya.

Awang Tengah turut meminta JKM Lawas memperbaiki kaedah untuk menyalurkan bekalan makanan melalui cara yang lebih baik dan keselamatan makanan sentiasa terjamin.
 
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Unos Tambi, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, Azman Ibrahim.
Next Post Previous Post