Untung kripto $7.5 juta dollar Amerika, tapi lesap RM697,000
KUCHING-- Seorang pesara kerajaan yang dikatakan telah mendapat keuntungan $7,523,674.01 dollar Amerika menerusi pelaburan mata wang kripto di aplikasi 'Yomaex' mengalami kerugian RM697,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian tersebut.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lelaki berusia awal 70-an itu tampil membuat laporan berhubung kes itu hari ini.
"Menurut mangsa, beliau melihat satu iklan pelaburan di laman sosial Facebook dan telah berhubung dengan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Cheong Sheng Hee’ melalui Watsapp nombor 01139016283 pada bulan Februari 2023 yang lalu.
"Seterusnya nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam group Whatsapp atas nama ‘group 02 (a walk in the woods)’, sebelum mangsa mengikuti kelas online yang mengajar cara-ara untuk membuat pelaburan kripto dan bitcoin trading dalam ‘aplikasi Yomaex’ melalui Whatsapp setiap malam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya mangsa kemudian telah melakukan dua transaksi pindahan wang keseluruhan berjumlah lebih kurang RM697,000 ke satu akaun bank atas nama sebuah syarikat di dua institusi kewangan di Bandaraya Kuching pada awal Oktober 2023.
Jelas Azman, tujuan mangsa membuat pembayaran adalah untuk membolehkan beliau mengeluarkan keuntungan pelaburan crypto dan bitcoin trading melalui aplikasi 'Yomaex' berjumlah $7,523,674.01 dollar Amerika.
"Mangsa hanya menyedari ditipu setelah keuntungan pelaburan gagal dikeluarkan, malah mangsa diminta membuat pembayaran tambahan berjumlah RM355,000 selepas itu," katanya.
Susulan itu, beliau memberitahu, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya dengan nilai kerugian yang dialami mangsa berjumlah lebih kurang RM697,000.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.